Sisa nanas jadi medium bongkah cendawan, jimat kos dan lestari

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail

Oleh: Asri Hamat

Foto: FB Dato’  Ust Hj Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail

KOTA DARULNAIM, 6 Januari -  Penghasilan bongkah cendawan berasaskan sisa nanas diperkenalkan sebagai inisiatif inovatif berteraskan konsep pertanian lestari dan ekonomi kitaran, dengan memanfaatkan sisa nanas sebagai medium tanaman cendawan.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, antara sisa nanas yang boleh digunakan ialah daun, empulur, hampas dan batang nanas bagi menggantikan penggunaan habuk kayu dalam penghasilan bongkah cendawan.

Beliau berkata, kaedah berkenaan bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada habuk kayu, malah berupaya mengurangkan kos untuk pengeluaran bongkah cendawan.

“Ia juga mengoptimumkan penggunaan sisa pertanian melalui proses rawatan dan pemerkayaan nutrien bagi menyokong pertumbuhan miselium cendawan,” katanya menerusi media sosial pada Isnin. 


Terdahulu, beliau merasmikan Kursus Penghasilan Bongkah Cendawan Berasaskan Media Sisa Nanas di Kompleks Cendawan Kokulac, Pasir Puteh yang melibatkan sebanyak 40 peserta.

Mohd Saripudin berharap peserta kursus berkenaan mampu mentransformasikan sisa nanas daripada bahan buangan kepada sumber ekonomi baharu yang berpotensi menjana pendapatan.

“Inisiatif ini sekali gus membuka peluang keusahawanan serta memperkukuh ekonomi komuniti setempat, khususnya dalam kalangan belia,” jelasnya.

Post a Comment

0 Comments