Bekas Adun Chetok meninggal dunia

Oleh Salmah Mat Husain |

PASIR MAS: Bekas Adun Chetok, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman meninggal dunia di rumahnya di Kampung Tok Dap, Tok Uban dekat sini kira-kira jam 3 petang tadi.

Allahyarham menghidap strok sejak tahun 2017 dan kesihatannya dikatakan semakin tidak menentu sejak sebulan lalu.

Adun Chetok, Zuraidin Abdullah berkata, Allahyarham pernah mendapatkan rawatan di Hospital Tanah Merah kira-kira sebulan lepas.

Menurut beliau, tahap kesihatan Allahyarham semakin uzur sejak kebelakangan ini.

“Allahyarham seorang yang pemurah serta sentiasa membantu masyarakat setempat, malah sikap tersebut ditunjukkan sejak sebelum beliau menjadi wakil rakyat lagi.

“Sepanjang hayatnya, Ustaz Halim dikenali sebagai seorang pemimpin yang aktif berkhidmat kepada masyarakat serta istiqamah dalam perjuangan Islam,” katanya ketika dihubungi.

Arwah berkhidmat sebagai wakil rakyat di Dun Chetok pada 2004 hingga 2013. Ketika itu Dun Chetok berada di kawasan parlimen Pasir Mas.

Ustaz Halim sentiasa menyuarakan masalah rakyat ketika sidang Dun. Malah ketika berkhidmat sebagai wakil rakyat, kehidupan keluarganya begitu sederhana. 

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Noraini Ali Matar serta tujuh anak iaitu dua lelaki dan lima perempuan.

Menteri Besar Datuk Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud pula berkata, Allahyarham dikenang sebagai seorang yang istiqamah, rendah hati, ikhlas berbakti serta sentiasa mendahulukan kepentingan agama dan rakyat.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga mereka diberi kesabaran, ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang berat ini.

“Saya mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat ke atas rohnya dan menempatkan dalam kalangan orang orang beriman dan beramal soleh,” ujarnya pada kenyataan.

Zuraidin juga berkata, pemergian Allahyarham merupakan suatu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga, malah kepada masyarakat tempatan dan rakyat Kelantan.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” ujarnya.

Difahamkan solat jenazah akan diadakan pada jam 11 malam ini di Masjid Mukim Gelam dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelam, Kubang Batu.

Anggota Exco Kerajaan Negeri Datuk Wan Roslan Wan Hamat turut menziarahi arwah Ustaz Abdul Halim di rumahnya di Tok Uban petang ini. Hadir sama Zuraidin. 

Katanya banyak sumbangan dicurahkan ketika arwah berkhidmat sebagai Adun Chetok, khususnya memperjuangkan kebajikan rakyat, pembangunan masyarakat serta pengukuhan pendidikan dan dakwah.


 


Post a Comment

0 Comments