Tanpa pembaharuan sistemik usaha banteras rasuah sekadar retorik

Oleh Intan Lestari 

KUALA LUMPUR: Peringatan Yang di-Pertuan Agong mengenai penyalahgunaan kuasa dan rasuah sebagai pengkhianat terhadap negara dianggap sebagai cerminan kepada keresahan rakyat. 

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, titah tuanku mencerminkan kebimbangan rakyat terhadap isu rasuah yang masih membelenggu negara sejak dahulu sehingga sekarang.

Katanya, menurut Indeks Persepsi Rasuah Transparency International 2024, Malaysia memperoleh skor 50 daripada 100 dan berada di kedudukan ke-57 dunia. 

"Walaupun terdapat usaha pembanterasan, laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2024 menunjukkan lebih 1,200 tangkapan dibuat, namun banyak kes berprofil tinggi masih berlarutan tanpa penyelesaian tuntas.

"Keadaan ini menimbulkan persepsi wujudnya dua darjat yang akhirnya menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi negara," katanya ketika pada sesi perbahasan Titah pada sidang Dewan Rakyat semalam. 

Menurut beliau, rakyat bukan sekadar menuntut penangkapan, tetapi penyelesaian kes dengan pantas, telus dan adil tanpa mengira pangkat dan kedudukan individu yang disyaki.

"Saya juga menyokong cadangan laluan khas mahkamah rasuah seperti dititahkan tuanku, penetapan tempoh masa maksimum penyelesaian kes, serta perlindungan menyeluruh kepada pemberi maklumat. 

"Tanpa pembaharuan sistemik ini, usaha membanteras rasuah akan terus dilihat sebagai retorik semata-mata," katanya.

Menurutnya juga Rancangan Malaysia Ke-13 perlu memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat khususnya dalam bidang pendidikan, perumahan, kesihatan dan pengangkutan awam.

Katanya, fokus itu amat tepat, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

Laporan Perkhidmatan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia 2024 menunjukkan nisbah doktor kepada pesakit di kawasan luar bandar sekitar seorang doktor bagi 1,500 penduduk, jauh daripada piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia iaitu seorang doktor bagi 1,000 penduduk. 

Katanya, di Rantau Panjang klinik kesihatan sering sesak, kekurangan pegawai perubatan dan akses kepada rawatan pakar di hospital yang agak jauh. 

Berkaitan aspek pengangkutan awam, penduduk Rantau Panjang hampir sepenuhnya bergantung kepada kenderaan persendirian kerana kekurangan pengangkutan awam.

Begitu juga isu perumahan, banyak projek rumah mampu milik masih tidak selari dengan kemampuan sebenar rakyat luar bandar yang berpendapatan tidak tetap.

"Sehubungan itu, saya mencadangkan agar RMK-13 menetapkan indikator khas pembangunan luar bandar, dengan agihan peruntukan berdasarkan keperluan sebenar rakyat dan bukan semata-mata berdasarkan kepadatan penduduk atau unjuran ekonomi," katanya.

Post a Comment

0 Comments