Oleh A Rahman Harun
KUALA LUMPUR: Kerajaan dianggap gagal mencapai matlamat untuk mewujudkan lebih banyak stesen pengecas kenderaan elektrik memandang sasaran hanya membina 10,000 unit tahun lalu.
Ahli parlimen Kubang Kerian Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mengikut laporan pada September 2025 hanya ada 5,149 stesen yang telah dibina.
"Kalau kita ingat unjuran pula, purata negara kita sekarang lebih kurang masing-masing 7,000 Lembah Klang dan Johor. Manakala 4,000 di Pulau Pinang.
"Dan beberapa ratus lagi di tempat-tempat lain terutamanya di kawasan Pantai Timur, mereka mengadu kekurangan pusat atau stesen pengecasan," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam.
Sedangkan kata beliau kenderaan elektrik menjadi sebahagian usaha mengurangkan pelepasan karbon secara signifikan berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman.
Beliau juga bimbang nasib negara bagi mencapai Sifar Bersih (Net Zero) menjelang 2050 berikutan pengunduran Amerika Syarikat daripada Perjanjian Paris.
Beliau berkata, perjanjian antarabangsa itu mengenai ancaman perubahan iklim seluruh dunia yang dipersetujui secara sah oleh 196 negara bagi mengukuhkan tindakan secara menyeluruh.
Menurutnya, langkah negara itu bakal memberi kesan besar terhadap perubahan iklim dunia kerana komitmen Amerika Syarikat bagi mengurangkan paras pelepasan karbon selain mengurangkan suhu dunia.
"Sebagai sebuah negara membangun, kita merancang mengurangkan pelepasan karbon di bawah perjanjian tersebut dengan andaian wujud sokongan kewangan dan teknologi antarabangsa.
"Bila perkara ini berlaku menyebabkan dana iklim hijau akan terkesan, 69 juta USD diluluskan daripada dana itu juga akan terjejas," ujarnya.
Baru-baru ini Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menarik diri daripada Perjanjian Iklim Paris, sekaligus menjauhkan negara pengeluar karbon terbesar dunia itu dari menangani perubahan iklim.
Langkah tersebut mencerminkan sikap skeptikal Trump terhadap kempen pemanasan global, bahkan beliau pernah mendakwa sebagai tipu helah untuk memberi ruang lebih besar kepada syarikat minyak dan gas.

0 Comments