Oleh Salmah Mat Husain|
KOTA BHARU: Kelantan
memberi kerjasama penuh terhadap cadangan kerajaan Pusat mahu mengaktifkan
semula laluan kereta api dari Pasir Mas ke Rantau Panjang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, pengoperasian semula laluan berkenaan dapat merancakkan sektor pelancongan.
Katanya, usaha itu dapat memperkukuh hubungan dua hala serta merancakkan perdagangan sempadan.
“Perkhidmatan yang dirancang itu bukan melibatkan kereta api laju, sebaliknya menggunakan perkhidmatan tren konvensional memandangkan landasan sedia ada masih wujud.
“Sekiranya perkhidmatan kereta api laju ingin dilaksanakan, laluan tersebut perlu disambung dari Tunjong,” katanya di sini.
Pada Oktober lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke ketika bercakap di Dewan Rakyat memberitahu projek naik taraf laluan kereta api Pasir Mas-Rantau Panjang dijangka dilaksanakan tahun 2026 dengan kos RM264 juta.
Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan bertujuan mengaktifkan semula laluan terbabit bagi perkhidmatan tren penumpang dan kargo, sekali gus memperkukuh hubungan rel rentas sempadan Malaysia-Thailand.
Kamarudin berkata, laluan tersebut berpotensi menggalakkan aktiviti import dan eksport sekali gus memberi manfaat kepada ekonomi di kawasan sempadan.
Kata beliau juga kedua-dua negara bersetuju secara prinsip untuk bekerjasama dalam tempoh jangka panjang, khususnya melibatkan kepentingan ekonomi bersama.
Namun, katanya, isu utama yang perlu diberi perhatian kos memandangkan kerajaan Malaysia perlu menanggung beban kewangan lebih tinggi berbanding Thailand.
“Walaupun berdepan cabaran dari sudut peruntukan, projek tersebut diyakini memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak,” katanya.




0 Comments