Usaha cegah obesiti sejajar tuntutan syarak

 

Oleh Tuan Arjuna Beta |

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan terus komited memperkukuh sistem kesihatan yang berteraskan nilai Islam bagi melahirkan kesejahteraan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan kolaborasi sektor awam, swasta dan institusi pengajian tinggi bagi membangunkan perkhidmatan kesihatan yang bernilai tinggi.

Katanya, aspek pencegahan dan rawatan mampu menyokong inovasi perubatan yang beretika dan patuh syariah.

“Ini termasuk isu berat badan berlebihan atau obesiti, di mana ia memerlukan pendekatan perubatan lebih proaktif dan komprehensif,” katanya pada perasmian Obesity Symposium di sebuah hotel di sini, semalam.

Program itu dianjur Pusat Perubatan An-Nisa' iaitu syarikat anak milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Turut hadir mantan Ahli Lembaga Pengarah Hostcare Sdn Bhd, Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff; Pengerusi Cawangan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Kelantan, Dr Tuan Zamani Amir Tuan Zakaria, Pengurus Besar Hostcare Sdn Bhd, Nursabati Mohd Pauzi dan Ketua Pegawai Eksekutif Ag Med Sdn Bhd, Dr Abdul Ghafoor Mubarak.

Malaysia berhadapan isu obesiti di mana ia mencatatkan kadar obesiti tertinggi di Asia Tenggara.

Hilmi berkata, dalam kerangka Maqasid Syariah, penjagaan kesihatan berkait langsung dengan pemeliharaan nyawa, pemeliharaan akal, keturunan dan harta.

“Obesiti yang tidak ditangani dengan baik boleh membawa mudarat kepada keselamatan nyawa melalui komplikasi penyakit kronik, kualiti akal dan emosi akibat tekanan dan kemurungan.

“Oleh itu, usaha mencegah dan merawat obesiti sejajar dengan tuntutan syarak,” kata beliau.

Sementara itu, Nursabati berkata, obesiti tidak lagi boleh dilihat sebagai isu gaya hidup semata-mata, sebaliknya ia merupakan penyakit kronik yang kompleks.

Menurutnya juga simposium itu dianjur bertujuan berkongsi pendekatan klinikal dan intervensi bariatrik terkini.

Selain itu memperkenalkan perkhidmatan batriatrik yang disediakan An-Nisa’ dengan kerjasama Qurus Clinic.

"Apabila doktor di peringkat awal mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai pilihan rawatan termasuk pembedahan bariatric, pesakit akan mendapat akses rawatan yang lebih tepat dan cepat," katanya.


 

 

Post a Comment

0 Comments