MB Kelantan ketuai delegasi agih sumbangan kepada mangsa banjir Aceh


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar

KOTA DARULNAIM, 18 Januari - Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Kelantan mengagihkan bantuan yang disumbangkan oleh rakyat Kelantan kepada mangsa banjir di Kampung Gunting, Pidie Jaya Aceh, pada Sabtu.

Sehubungan itu, Bupati Pidie Jaya Aceh H. Sibral Malasyi mengakui bahawa sokongan berterusan rakyat Malaysia khususnya Kelantan terhadap Aceh amat dihargai oleh masyarakat setempat yang kini sedang bangkit selepas dilanda bencana banjir lumpur besar di wilayah kepulauan Sumatera, Indonesia.


Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar Kelantan dan ahli delegasi atas keprihatinan membantu meringankan beban mangsa banjir di daerah itu.

“Terima kasih tidak terhingga kepada YAB Dato’ dan rombongan yang sudi hadir dan membantu masyarakat Pidie Jaya dengan sumbangan berupa periuk nasi elektrik serta keperluan asas lain kepada mangsa banjir,” katanya seperti yang disiarkan oleh stesen TV Astro.


Delegasi Kerajaan Negeri Kelantan tiba di Aceh pada Khamis bagi meninjau keadaan terkini mangsa banjir lumpur, khususnya di Pidie Jaya, selain menyampaikan sumbangan kemanusiaan.

Sebanyak 160 keluarga di Kampung Gunting menerima sumbangan berupa periuk nasi elektrik, dapur gas serta wang tunai yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar.


Sementara itu, Dato' Mohd Nassuruddin memaklumkan bahawa bantuan tersebut adalah tanda solidariti dan persaudaraan antara umat Islam.

“Mereka semua adalah saudara-saudara dan adik-beradik kita. "انما الموءمنون اخوة". Inilah tujuan kami datang, mudah-mudahan sumbangan ini dapat menambah dan menguatkan semangat saudara-saudara kita di Aceh, khususnya di Pidie Jaya,” katanya sebagaimana laporan Astro.


Menteri Besar turut meluangkan masa meninjau keadaan penduduk setempat yang sedang berusaha membina semula kehidupan selepas bencana itu.

Banjir lumpur berkenaan dilaporkan melanda beberapa wilayah di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat pada penghujung November 2025 yang mengorbankan 1,178 mangsa, selain menyebabkan ratusan ribu penduduk terjejas dan kehilangan tempat tinggal.

Post a Comment

0 Comments