2000 perantau Kelantan meriahkan Majlis Ihya' Ramadan Zon Lembah Klang


Oleh: Syamimi Manah

SHAH ALAM, 28 Februari – Seramai 2000 perantau anak Kelantan hadir memeriahkan Program Ihya’ Ramadan Perdana Kepimpinan Kerajaan Negeri Bersama Anak Kelantan di Perantauan 1447H/2026 bagi Zon Lembah Klang, hari ini. 

Majlis yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam itu 

terus menjadi wadah tahunan yang memperkukuhkan hubungan antara kepimpinan kerajaan negeri dan anak-anak Kelantan di luar negeri.

Sehubungan itu, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, Program Ihya’ Ramadan merupakan acara tahunan Kerajaan Negeri Kelantan yang berjaya mempereratkan ukhuwah pemimpin dengan anak Kelantan yang jauh dari kampung halaman.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud

“Alhamdulillah kita dapat bertemu dalam program tahunan kerajaan negeri untuk berbuka puasa bersama anak-anak Kelantan" katanya. 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada anak-anak perantau yang hadir bersama keluarga bagi memeriahkan majlis tersebut serta sentiasa memberikan komitmen tinggi terhadap program anjuran kerajaan negeri.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan program Tadarus Ramadan anjuran kerajaan negeri kini memasuki siri ke-34 sejak dimulakan pada tahun 1992, termasuk usaha membukukan teks tadarus sebagai panduan rakyat.

“Teks tadarus dipilih mengikut situasi semasa setiap tahun. Tahun ini kita memilih Surah al-Anfal ayat 24 hingga 28. Walaupun hanya lima ayat, namun intipatinya cukup besar untuk kita ambil ibrah,” jelasnya.

Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa memberi keutamaan kepada pembangunan iman rakyat Kelantan agar sentiasa mendengar dan mematuhi perintah Allah SWT, selaras dengan hasrat membangunkan negeri berteraskan Islam.

Pemangku Pengerusi Persatuan Anak-Anak Kelantan Perantau Malaysia (PERAKAN) Mohd Ariff Yusoff

Sementara itu, Pemangku Pengerusi Persatuan Anak-Anak Kelantan Perantau Malaysia (PERAKAN) Mohd Ariff Yusoff berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Kelantan atas kesudian bersama anak-anak Kelantan di perantauan dalam majlis berbuka puasa tersebut.

“Bagi pihak PERAKAN, saya merakamkan penghargaan kepada MB Kelantan kerana sudi bersama kami anak-anak Kelantan di perantauan. Kehadiran beliau membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan anak Kelantan di mana sahaja kami berada,” katanya. 

Beliau juga menegaskan, walaupun berada jauh dari tanah air, semangat jati diri Kelantan tetap utuh dalam kalangan anak perantau.

“Majlis hari ini menjadi ruang untuk kita bersilaturrahim, saling kenal-kenalan serta terus menyumbang idea untuk negeri yang kita kasihi. Kami sentiasa komited menjadi penghubung antara anak-anak Kelantan dengan pimpinan kerajaan negeri,” ujarnya. 




Post a Comment

0 Comments