KOTA BHARU:
Pemuda PAS Kelantan menyifatkan usaha hendak memecahkan PAS dari dalam yang pernah
berlaku sebelum ini cuba diulang semula dengan agenda dicetus pihak tertentu.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, suatu ketika dahulu, di zaman arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz, parti ini pernah diuji dengan fitnah dari dalam.
Katanya, ada yang bertopengkan wala’ dan kononnya membawa suara reformasi, namun akhirnya menikam dari belakang.
“Mereka membina naratif seolah-olah Tok Guru Nik Aziz bertembung dan bercanggah dengan Presiden PAS Tok Guru Abdul Hadi Awang.
“Hakikatnya, pertembungan itu tidak pernah wujud secara prinsip, namun yang wujud hanya permainan persepsi yang ditiup perosak kecil yang bercita-cita besar.
“Akhirnya topeng jatuh satu demi satu. Lompatlah mereka ke PAN (Amanah), dan masa membuktikan siapa yang benar, siapa yang bersandiwara.
“Hari ini, sejarah itu seperti mahu diulang. Cuma medan berubah daripada ceramah dan kenyataan terbuka kepada tulisan di media sosial,” katanya pada kenyataan.
Menurutnya timbul persoalan siapa sebenarnya di sebalik akaun Facebook Tok Guru Hashim Jasin, yang menulis dengan nada dan maksud yang jauh menyimpang daripada roh ucapan asalnya.
Kata beliau tulisan itu tidak kelihatan sebagai nasihat, apatah lagi teguran beradab.
“Sebaliknya, ia cuba menyusun persepsi, seakan mahu melaga-lagakan Majlis Syura dengan Presiden, seolah-olah wujud krisis dalam kepimpinan tertinggi.
“Inilah kerja lama dengan wajah baharu. Batu api kecil yang menyangka api fitnahnya mampu membakar bangunan perjuangan yang dibina dengan air mata, doa dan darah para ulama serta pejuang.
“Mereka lupa, parti ini bukan berdiri atas emosi, tetapi atas disiplin jamaah, adab khilaf dan prinsip wala’ kepada keputusan syura,” ujarnya.
Oleh itu beliau berharap apa yang berlaku tersebut memberi sedikit pengajaran kepada batu api kecil tersebut.

0 Comments