Oleh Intan Lestari |
KUALA LUMPUR: Gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Malaysia dianggap menteri masih berada pada tahap yang sangat terhad dan terbatas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Dr Zulkifli Hassan memberitahu di Dewan Rakyat baru-baru ini, keadaan itu menyukarkan usaha untuk mendapatkan data yang komprehensif berkaitan jumlah sebenar golongan berkenaan.
Menurut beliau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak mempunyai statistik khusus mengenai golongan LGBT kerana kekangan maklumat yang lengkap dan kesukaran pengesanan secara menyeluruh.
"Faktor institusi keluarga, persekitaran sosial dan kekurangan pengetahuan terhadap ajaran agama menjadi penyumbang utama individu terjerumus dalam gejala LGBT," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berhubung gejala LGBT di Malaysia.
Sebelum itu Siti Zailah meminta kerajaan menjelaskan peratus penglibatan, kumpulan umur, bangsa serta faktor utama yang menyumbang kepada fenomena tersebut mengikut kes yang direkodkan.
Bagaimanapun, kata menteri berdasarkan kajian dan pemerhatian kes-kes yang dikenal pasti, antara faktor utama yang mendorong individu terlibat dalam gejala LGBT termasuk pengaruh persekitaran, pengalaman seksual lampau, tekanan di tempat kerja serta faktor peribadi.

0 Comments