Banyak tuduhan dibuat tiada bukti

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Tuduhan kononnya PAS dan Perikatan Nasional (PN) menerima dana daripada sumber perjudian gagal dibuktikan pemimpin kerajaan Madani sehingga sekarang.

Malah, terbaru bekas Timbalan Presiden PKR Dato’ Seri Rafizi Ramli turut mendakwa Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar gagal membuktikan tuduhan tersebut terhadap PAS dan PN.

“Dahulu Anwar buat ucpaan PN terima dana daripada judi, saya tidak tahu siapa yang bagitahunya.. saya tidak tahu. Namun selepas seminggu, sebulan dan bertahun ia gagal dibuktikan. Isu tersebut senyap begitu sahaja.

“Memang banyak tuduhan yang dibuat tiada bukti,” kata Rafizi pada satu Podcast baru-baru ini.

Mengulas perkembangan terbabit Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, tuduhan yang dilontarkan sebelum ini gagal disertakan dengan sebarang bukti kukuh.

Katanya, dakwaan berat tersebut yang tidak pernah dibuktikan sehigga mencemarkan integriti dan prinsip PAS sebagai parti Islam.

“Serangan tersebut bukan sekadar isu politik biasa, sebaliknya melibatkan reputasi moral dan kepercayaan rakyat terhadap parti yang membawa agenda Islam.

“Tuduhan itu sebagai cubaan menjatuhkan kredibiliti moral PAS dan PN melalui permainan persepsi,” katanya pada kenyataan.

Selepas dilantik sebagai perdana menteri, Anwar dilapor berkata, dana pilihan raya untuk parti Melayu dan parti Islam datang dari syarikat perjudian.

Beliau mendakwa PN menerima dana daripada syarikat perjudian, dengan merujuk kepada peningkatan jumlah cabutan loteri ketika pentadbiran gabungan tersebut.

Firdaus berkata, strategi politik sedemikian bertujuan mempengaruhi emosi pengundi yang sensitif terhadap isu halal dan haram, sekali gus mengalih perhatian daripada perbahasan berkaitan kos sara hidup dan reformasi institusi.

Menurutnya juga fenomena penyebaran tuduhan berulang dalam aspek psikologi bertujuan supaya wujud ‘illusory truth effect’ sehingga boleh diterima sebagai benar walaupun tiada bukti.

“Dalam era media sosial, naratif bergerak lebih laju daripada fakta. Sebab itu masyarakat perlu kembali kepada prinsip keadilan, iaitu pihak yang menuduh wajib membawa bukti.

“Lagi pun jika benar PAS dan PN terima dana perjudian, rekod kewangan boleh dikesan oleh pihak berkuasa. Namun malangnya sehingga kini tiada bukti, maka dakwaan itu kekal sebagai tuduhan politik,” katanya.

Oleh itu kata beliau rakyat semakin matang dan mampu membezakan antara persepsi dan realiti.

 

Post a Comment

0 Comments