Anak muda rakan seperjuangan bawa mesej dakwah – YB Dato' Rohani



Oleh: Asri Hamat  | Foto: FB YB Dato’ Rohani

KOTA DARULNAIM, 22 Februari – Anak muda hari ini bukan sekadar pelapis kepimpinan, bahkan rakan seperjuangan dalam membawa mesej Islam yang syumul dan rahmah kepada masyarakat, kata Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato' Rohani Ibrahim.

Menurutnya, golongan muda mempunyai peranan besar dalam memperkukuh agenda dakwah dan kebajikan selari dengan tuntutan agama.

Beliau memetik sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada manusia lain,” sebagai pedoman dalam melaksanakan tanggungjawab kepimpinan.

“Moga kepimpinan yang dipikul menjadi amanah yang dilaksanakan dengan penuh integriti, hikmah dan tawaduk.

“Insya Allah, kita sama-sama perkukuhkan saf, satukan fikrah dan terus berkhidmat demi agama, bangsa dan negeri,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini. 

Terdahulu, YB Dato' Rohani menerima kunjungan hormat barisan pimpinan baharu Ameerah Kelantan dalam satu pertemuan yang berlangsung dalam suasana penuh mahabbah dan semangat ukhuwah di pejabatnya, di Mabna Kompleks Kota Darulnaim. 

Dato' Rohani mengakui, pertemuan itu membuka ruang ta’aruf, perkongsian gerak kerja serta perancangan masa depan yang lebih tersusun dan berstrategi.

“Bertemu mata dengan adik-adik pimpinan baharu, jelas terpancar kesungguhan mereka untuk memacu agenda dakwah, kebajikan dan pembangunan wanita muda di negeri ini,” katanya.

Beliau turut berharap barisan kepimpinan baharu itu dapat terus komited dan istiqamah dalam memperkasa peranan wanita muda sebagai agen perubahan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.



Post a Comment

0 Comments