Oleh A Rahman Harun |
KUALA LUMPUR: Isu
papan tanda yang tidak mengutamakan bahasa Melayu merupakan pelanggaran
peraturan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan bercanggah dengan status bahasa Melayu
mengikut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen PN Kapar Dr Halimah Ali berkata, kerajaan perlu memperkukuhkan penggunaan bahasa kebangsaan, bahasa Melayu di ruangan awam termasuk papan tanda.
Katanya, ia menjadi manifestasi visual terhadap jati diri, identiti dan kedaulatan negara.
“Usaha tersebut memberi wajah yang lebih jelas kepada Malaysia sebagai sebuah negara berdaultan seperti negara lain yang mengekalkan ciri-ciri lingustik termasuk dalam sektor pelancongan.
"Saya rasa kementerian mungkin kena lihat secara profesional, di mana jati diri bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di mana-mana sahaja dari Perlis sampai Sabah.
"Kita tengok di negara lain mereka menggunakan bahasa ibunda, jadi saya nak lihat di Malaysia kena buat gerakan ke arah itu, barulah ada nak jati diri Malaysia," katanya di Dewan Rakyat semalam.
Sebelum ini isu papan tanda sering menimbulkan kontroversi khususnya penguatkuasaan bahasa Melayu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)yang melaksanakan operasi terhadap premis tidak mengutamakan bahasa kebangsaan.
PBT terbabit juga dikatakan merancang untuk menggugurkan tulisan Cina pada papan tanda jalan di Jalan Petaling (Petaling Street).
Bagaimanapun usaha tersebut dilapor dipertikaikan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing yang mempersoalkan tindakan tersebut kerana bimbang memberi imej negatif dan menjejaskan sektor pelancongan di negara ini.
Sebaliknya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyokong tindakan DBKL sambil menegaskan memartabatkan bahasa kebangsaan adalah kewajipan mengikut Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Perkara 152 Perlembagaan Negara.
Sementara itu Menteri Perpaduan Nasional, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, beliau mengambil maklum terhadap persoalan yang dibangkit ahli parlimen pembangkang bagi membina dan memperkukuhkan identiti bangsa.


0 Comments