Oleh: Norzana Razaly |
KOTA BHARU:
Kerajaan Kelantan menerbit dokudrama ke-19 mengetengahkan juadah tradisi musim monsun
sebagai usaha memartabatkan warisan makanan tempatan.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Kamarudin Md Nor berkata, penerbitan dokudrama ikan budu bertujuan mendekatkan masyarakat, khususnya generasi muda kepada dunia digital.
Katanya, ia selaras dengan trend semasa, selain memperluas kefahaman terhadap nilai ilmu dan kearifan tempatan di sebalik makanan tradisional.
“Kisah fermentasi sebelum ini terhad di ruang dapur, kini diangkat ke medium visual dan platform digital sebagai naratif yang mendidik serta menghibur.
“Ia sekali gus membuka ruang inovasi kandungan berteraskan warisan. Dokudrama tersebut membuktikan di sebalik cabaran musim tengkujuh,” katanya di sini.
Dokudrama berkenaan memfokus teknologi fermentasi ikan budu serta inovasi resipi Telur Dadar Ikan Budu, hidangan tradisi yang sinonim dengan kehidupan masyarakat Kelantan ketika musim tengkujuh.
Bermula November hingga Mac setiap tahun, negeri-negeri Pantai Timur berdepan cabaran musim tengkujuh.
“Masyarakat Kelantan pun sudah serasi dengan bah. Sebab itulah kita mengambil pendekatan positif dengan meraikan ujian tersebut melalui program yang bermanfaat,” kata Kamarudin.
Beliau juga berkata pendekatan itu turut diterjemah menerusi penganjuran Kemasin Beach Suf Competition 2025 pada akhir tahun lalu yang menggabungkan elemen sukan, pelancongan dan kebudayaan.




0 Comments