Kadar zakat fitrah di Kelantan RM10

Oleh Salmah Mat Husain

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menetapkan kadar bayaran zakat fitrah bagi tahun ini sebanyak RM10 berbanding RM8 pada tahun sebelumnya.

Yang Dipertuanya, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, individu yang ingin membuat bayaran RM22 berdasarkan keselesaan mengikut harga beras yang dimakan  digalakkan.

Menurutnya, ketetapan kadar zakat fitrah itu mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V selaku Ketua Agama Islam Negeri seperti diperuntukkan di bawah Perkara 6 (1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

Beliau berkata, kadar nisab zakat harta bagi Kelantan tahun ini ditetapkan sebanyak RM37,401 untuk tempoh haul antara Ramadan 1447 Hijrah hingga Ramadan 1448 Hijrah.

“Pembayaran zakat boleh dilaksanakan melalui perkhidmatan kaunter Baitulmal yang dibuka di masjid-masjid bandar, masjid-masjid jajahan atau menerusi portal MAIK di zakat.e-maik.my,” katanya pada kenyataan hari ini.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berharap semua pihak mengambil maklum tentang ketetapan tersebut.

“Bersama-sama kita menghidupkan Ramadan 1447 Hijrah dengan amalan soleh dan tanggungjawab berzakat seperti yang difardukan,” katanya.

Berdasarkan rekod, bayaran zakat fitrah di Kelantan bagi 2025 ditetapkan pada kadar RM8, RM14 atau RM21 mengikut keselesaan harga beras yang dimakan.

Post a Comment

0 Comments