Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU: Sukan bocce berpeluang cerah dipertandingkan pada temasya
Sukan Malaysia (Sukma) 2028 yang menyaksikan Kelantan sebagai tuan rumah.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, Kelantan sedia memasukkan sukan berkenaan dalam acara Sukma berikutan perkembangan positif sukan berkenaan.
Katanya, sukan itu yang berasal dari Itali semakin mendapat tempat, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah serta institusi pengajian tinggi.
“Namun beberapa syarat perlu dipenuhi sebelum sukan mirip boling padang itu boleh disenaraikan sebagai acara Sukma.
“Kelulusan jawatankuasa tertinggi Sukma serta kesediaan tuan rumah menerima sukan berkenaan merupakan elemen penting,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Bocce Komuniti Sekolah Peringkat Kebangsaan Edisi Kedua di sini baru-baru ini.
Menurutnya juga jumlah pasukan mencukupi antara keperluan utama yang perlu dipatuhi.
Sementara itu, Presiden Boules Bocce Malaysia, Razali Wan Zain berkata, sehingga kini sebanyak 10 negeri berdaftar dengan persatuan masing-masing.
Katanya, jumlah pendaftaran lebih enam pasukan sudah memenuhi syarat kelayakan untuk bertanding di peringkat Sukma.
Kata beliau kebanyakan peserta terdiri daripada pelajar sekolah menengah hingga universiti dengan had umur 21 tahun ke bawah.
“Dari segi kewangan, sukan ini tidak melibatkan kos mahal, anggarannya ratusan ribu ringgit. Pihak persekutuan boleh menampung kos penganjuran.
“Kami turut mendapat sokongan rakan sukan serta pihak korporat. Sukan ini dianggap murah tetapi berprestasi tinggi,” ujarnya.
Tambah beliau juga sukan bocce hanya memerlukan dua pegawai dan empat atlet bagi setiap pasukan, mempertandingkan tujuh pingat termasuk satu juara keseluruhan.


0 Comments