Hotel sedia ruang khas solat tarawih

 
Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Buffet Ramadan bertema Baba Nyonya menjadi pilihan H Elite & Design Hotel bagi menampilkan kelainan tahun ini, selari dengan semangat muhibah antara kaum.

Citarasa itu juga dipilih bersesuaian sambutan Tahun Baru Cina yang berlangsung seiring dengan bulan Ramadan.

Pemangku Pengurus Besar H Elite & Design Hotel, Nik Mohd Azrihaimi Abdul Ghafar berkata, tema tersebut dipilih berdasarkan permintaan tinggi pelanggan yang memilih menu Baba Nyonya dan masakan Kelantan.

Menurut beliau, walaupun mengetengahkan menu Baba Nyonya, pihaknya tetap mengekalkan menu wajib yang menjadi identiti hotel iaitu kambing bakar dan nasi Arab.

“Kita turut selitkan pelbagai menu lain termasuk spageti dan masakan tempatan. Harapan kami agar pengunjung datang mencuba masakan Kelantan serta menu lain yang ditawarkan,” katanya ketika memperkenalkan pakej bufet Ramadan di sini semalam.

Harga buffet Ramadan yang ditawarkan RM78 untuk dewasa, RM68 warga emas dan kanak-kanak RM30.

Azrihaimi berkata, antara menu utama yang dijangka menarik kehadiran pelanggan iaitu kari merah gear box serta Mongolian grill, selain 120 jenis menu disediakan sepanjang Ramadan.

Katanya, menu utama akan bertukar mengikut hari, namun gerai tetap seperti nasi Arab, murtabak, aiskrim dan beberapa hidangan lain akan dikekalkan setiap hari.

Selain itu, pihak hotel turut menyediakan kemudahan solat tarawih sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, termasuk solat berjemaah dengan imam yang dilantik khas.

“Ruang solat tarawih boleh memuatkan seramai 50 jemaah pada satu-satu masa dan selepas selesai tarawih, pengunjung boleh kembali menikmati juadah,” katanya.

Menurut beliau, kemudahan penjagaan kanak-kanak turut disediakan bagi memudahkan ibu bapa menunaikan solat tarawih dengan lebih selesa.

Pada masa yang sama, hotel itu turut menawarkan menu moreh di tingkat 18 berhampiran kawasan kolam renang pada kadar RM18 secara buffet makan sepuasnya.

 

 

Post a Comment

0 Comments