Kes Tibi di Kelantan terkawal, kerajaan negeri pandang serius penyakit berjangkit


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 9 Februari - Kes penyakit tibi (TB) di Kelantan dilaporkan masih terkawal walaupun beberapa kluster dikesan di negeri ini pada penghujung tahun lalu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata kerajaan negeri memandang serius sebarang penyakit berjangkit termasuk tibi dan tindakan segera diambil sebaik sahaja kes dikesan.

Menurutnya, pesakit tibi akan menjalani rawatan intensif termasuk pengambilan antibiotik khas selama enam bulan tanpa henti bagi memastikan kuman tibi dapat dihapuskan sepenuhnya.

“Sekiranya rawatan tidak dihabiskan dalam tempoh ditetapkan, kuman tibi sukar dihapuskan dan boleh menyebabkan jangkitan berulang serta penularan kepada orang lain."


Beliau berkata demikian ketika bersiaran bersama DJ Nazz dan Qila di stesen Molek FM, yang turut disiarkan menerusi media sosial beliau, hari ini.

Menurutnya, penyakit tibi adalah penyakit berjangkit yang boleh merebak melalui batuk, bersin, meludah dan kontak rapat, justeru golongan berisiko tinggi dinasihatkan agar sentiasa menjaga kesihatan.

“Ahli keluarga yang tinggal serumah dengan pesakit tibi adalah antara golongan paling berisiko. Selain itu, perokok dan individu yang mempunyai sistem imuniti rendah juga mudah dijangkiti,” jelasnya.

Tambah YB Hilmi, kerajaan negeri sentiasa menjalankan kempen kesedaran sepanjang tahun bagi mendidik rakyat Kelantan supaya menghindari penyakit berjangkit serta mendapatkan rawatan awal sekiranya mengalami gejala.

“Jika terdapat sebarang tanda atau simptom, segera hadir ke klinik berhampiran untuk pemeriksaan dan saringan awal,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Mohd Azman Yaacob dilaporkan berkata, sebanyak sembilan kes tibi direkodkan di negeri ini melibatkan tiga kluster.

Menurutnya, dua kluster dikesan di Kota Bharu iaitu di Guchil Bayam membabitkan dua kes dan Kampung Padang Salim dengan tiga kes, manakala satu lagi kluster di Melawi, Bachok mencatatkan empat kes.

Post a Comment

0 Comments