Oleh A Rahman Harun |
KUALA LUMPUR: Penahanan
peserta perhimpunan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) di ibu negara Sabtu lepas dianggap
bercanggah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Sedangkan perlembagaan menjamin hak setiap warganegara untuk mengadakan perhimpunan secara aman tanpa senjata.
Ahli Parlimen PN Besut Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh berkata, kerajaan perlu memberi penjelasan terhadap penahanan individu termasuk peguam kanan yang terbabit dengan perhimpunan aman tersebut.
“Adakah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) tidak memberi nasihat kepada kerajaan terhadap tindakan pihak berkuasa yang terus mencabuli prinsip demokrasi.
"Sebagai menteri ada tak beri nasihat kepada kerajaan bahawa perbuatan tersebut salah di sini undang-undang kerana melanggar perintah Mahkamah Persekutuan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan 19 individu termasuk penyelaras GARAH, Zamri Vinoth dan Pengasas TanahMalaysa.com, Tamim Dahari Abdul Razak serta peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla.
Bagaimanapun 17 individu terbabit perhimpunan dibebaskan dengan jaminan polis semalam, manakala Zamri dan Tamim direman selama dua hari bagi siasatan lanjut.
Sementara itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran menyifatkan Zulkifly mempolitikan tindakan penahanan 19 individu di hadapan Kompleks Sogo Sabtu lepas.
Beliau berkata, kerajaan menasihat orang ramai tidak menyertai perhimpunan itu walaupun hak perhimpun dijamin perlembagaan.
Selain itu pihak polis katanya, turut mengeluarkan saranan yang sama supaya tidak menyertai perhimpunan terbabit atas faktor keselamatan lokasi itu sesak dengan pengunjung.




0 Comments