Tangani isu bina struktur tanpa kebenaran ikut peraturan

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KUALA TERENGGANU: Sebarang pembinaan struktur tanpa kebenaran termasuk rumah ibadat berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah serta agensi penguat kuasa berkaitan.

Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, ia tersebut perlu ditangani melalui peraturan serta penguatkuasaan undang-undang sedia ada.

Katanya, undang-undang memberi kuasa yang jelas kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengeluarkan notis serta mengambil tindakan sewajarnya.

“Di situlah ruang tindakan yang sebenar dan wajar diberi keutamaan,” katanya pada kenyataan semalam.

Baru-baru ini media melaporkan seorang pemilik tanah persendirian di Dengkil, Selangor bertegas akan meroboh sebuah kuil yang didakwa dibina secara haram di atas tanah miliknya selepas semua proses rundingan dan tempoh pengosongan diberikan.

Menurut Suhaili Ahmad, 70, notis dan tempoh masa mencukupi telah diberikan, selain rundingan dibuat disaksikan pihak polis. Kuil terbabit didakwa dibina secara haram di atas tanah yang dimilikinya sejak lebih 20 tahun lalu.

Dr Balachandran berkata, DHPP berpandangan pendekatan terbaik dalam menangani isu sedemikian memastikan undang-undang dilaksanakan secara adil, konsisten dan tidak dipengaruhi sentimen yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama.

Tambahnya, Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW menekankan prinsip keadilan, hikmah serta kehidupan bersama secara aman dalam masyarakat pelbagai agama.

“Piagam Madinah memperakui hak komuniti bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka tanpa gangguan, selagi mana mereka mematuhi peraturan yang dipersetujui bersama.

“DHPP menegaskan bahawa naratif awam berkaitan isu ini perlu dikendalikan dengan cermat agar tidak menimbulkan salah faham atau menyentuh sensitiviti mana-mana komuniti.

“Tumpuan seharusnya diberikan kepada aspek pematuhan undang-undang serta penambahbaikan sistem pemantauan dan kelulusan oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya.

Beliau juga berkata, Islam sebagai Rahmatan lil ‘Alamin menuntut umat Islam memimpin dengan penuh hikmah, cermat dan meletakkan sesuatu isu pada tempatnya yang sebenar.

 

 

Post a Comment

0 Comments