Lepasan STAM berpeluang lanjut pelajaran ke Tunisia

 
TUNIS: Kerajaan Kelantan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Ez-Zitouna bagi memperluaskan kerjasama bidang pendidikan antara kedua-dua pihak.

MoU itu membuka peluang kepada pelajar lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) melanjutkan pengajian di Universiti Ez-Zitouna, khususnya di Maahad ‘Aliy Lil Hadharah al-Islamiah dan Maahad ‘Aliy Lil ‘Ulum al-Islamiah di Qairawan.

MoU itu merupakan lanjutan daripada kerjasama yang dirintis sejak tahun 2017.

Anggota Exco Kerajaan Negeri Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerjasama strategik tersebut terus diperkasakan demi manfaat ummah selari dengan aspirasi Membangun Bersama Islam.

Katanya, Universiti Ez-Zitouna merupakan antara institusi pengajian Islam tertua dan paling berprestij di dunia, diasaskan pada tahun 737 Masihi bermula daripada Masjid al-Zaytuna.

“Selama lebih 12 abad universiti ini berperanan sebagai pusat keilmuan Islam yang melahirkan ramai ulama dan ilmuan tersohor, serta kekal menjadi rujukan utama dalam bidang syariah, bahasa Arab dan tamadun Islam.

“Prestij Universiti Ez-Zitouna terserlah apabila ia melahirkan tokoh besar dunia Islam seperti Ibn Khaldun, pemikir dan sejarawan agung yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya pada program berkenaan semalam.  

Turut menyaksikan majlis bersejarah itu Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail; Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Shamsul Abu Bakar dan Pengarah Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) Nik Jessim Nik Hashim.

Wan Roslan juga berkata, tradisi keilmuan di universiti terbabit menekankan penguasaan ilmu turath, di samping kefahaman terhadap konteks semasa.

Sebelum itu delegasi dari Kelantan juga mengadakan pertemuan bersama Rektor Universiti Ez-Zitouna, Prof Dr Abd Latif Bu Aziz dan timbalan-timbalan Rektor serta pensyarah serta pentadbiran universiti.


 

Post a Comment

0 Comments