Peserta 'RXZ Forever Legend' berdisiplin tinggi

 
Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Dianggar hampir 50,000 peserta menyertai program RXZ Forever Legend yang diadakan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong pada Jumaat dan Sabtu lepas.

Program itu mendapat turut pujian pelbagai pihak memandangkan sikap berhemah komuniti penunggang RXZ yang mematuhi peraturan jalan raya.

Ia turut diakui Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Mohd Misuari Abdullah apabila dilapor berkata, kesemua peserta berdisiplin serta mematuhi undang-undang dan syarat yang ditetapkan.

Menurutnya, pemantauan JPJ mendapati kumpulan peserta yang tiba lebih awal, pada malam Jumaat bergerak dalam keadaan teratur tanpa sebarang unsur provokasi.

Timbalan Pengarah Urusetia Belia dan Sukan (U-BeS) Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, program itu juga mendapat pujian kerajaan negeri kerana tahap disiplin tinggi peserta.

Katanya, pergerakan peserta yang memasuki Kelantan sejak Khamis sehingga Jumaat berjalan teratur tanpa sebarang unsur negatif.

“Alhamdulillah, kita ucapkan tahniah kepada semua peserta dan insya-Allah program ini akan diteruskan sebagai acara tahunan,” katanya pada program Sembang Santai bersama petugas media di sini, petang semalam.

RXZ Forever Legend dirasmikan Menteri Besar Datuk Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud. Hadir sama anggota Exco Zamakhsari Muhamad. Menteri Besar turut mengimamkan solat Asar pada program berkenaan.

Penganjuran program itu turut disertai peminat RXZ dari seluruh negara serta peserta dari Selatan Thailand.

Firdaus yang juga Ketua Pemuda PAS Kelantan berkata, media merupakan rakan strategik penting yang perlu dirai dan didekati bagi memastikan penyampaian maklumat kepada masyarakat lebih berkesan.

Sementara itu, Presiden Kelab Media Kelantan Darulnaim (Kemudi), Muhammad Yatimin Abdullah menyifatkan program terbabit sebagai platform penting untuk membina jaringan komunikasi lebih berkesan antara media dan kepimpinan pemuda.

“Alhamdulillah kita boleh jumpa mata dan mengenali antara satu sama lain. Ini sebenarnya titik tolak untuk mengukuhkan hubungan antara kerajaan negeri, Pemuda dan pihak media,” katanya.


 

 

Post a Comment

0 Comments