Oleh A Rahman Harun |
KUALA LUMPUR:
Kerajaan dicadang membuat semakan semula Dasar Pengguna Negara memandangkan kos
sara hidup di negara ini semakin meningkat.
Ahli Parlimen Perikatan Nasional Tumpat Datuk Mumtaz Md Nawi berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diminta memberi penekanan terhadap dasar tersebut.
Katanya, langkah tersebut bertujuan melahirkan pengguna yang bijak, bertanggungjawab dan mampu melindungi diri sendiri melalui ilmu pengetahuan serta kemahiran.
Kata beliau antara lanjutan penting dasar itu termasuk literasi kewangan kanak-kanak bertujuan membentuk tabiat pengurusan wang secara bijak menerusi inisiatif sekolah seperti modul pendidikan kewangan.
"Adakah kementerian akan memberi tumpuan samada semakan dasar ini agar kos sara hidup dengan harga yang dibayar dapat disesuaikan dengan pendidikan hak pengguna dan kawalan kerajaan," katanya ketika mencelah sesi penggulungan Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu Armizan menyambut baik cadangan dikemukakan Mumtaz, bahkan KPDN pada Mac hadapan akan melancarkan Dasar Pengguna Negara 2.0 yang dilaksanakan bagi tempoh lima tahun.
Beliau berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada kerangka utama dasar tersebut dan menjadi rujukan agenda kepenggunaan negara.
"InsyaAllah Mac nanti kita akan lancarkan Dasar Pengguna Negara 2.0 dan salah satu komponennya pendidikan kepenggunaan untuk melahirkan masyarakat berpengetahuan," katanya.


0 Comments