Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco
PASIR MAS, 8 Februari – Susulan isu yang tular di media sosial berkaitan dakwaan pengabaian terhadap warga emas Ismail Che Noh, 79 tahun atau lebih dikenali sebagai Pak Mail di Kampung Repek, Ahli Dewan Negeri (ADN) Apam Putra YB Zamakhshari Muhamad bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Penghulu Mukim telah turun ke kediaman anaknya, di sini hari ini.
YB Zamakhshari berkata, lawatan tersebut bertujuan mendapatkan gambaran sebenar situasi Pak Mail selain mencari penyelesaian terbaik secara berhemah dan menyeluruh dengan melibatkan semua pihak berkaitan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang prihatin terhadap keadaan Pak Mail. Namun dalam menilai sesuatu perkara, kita perlu melihat dan mendengar maklumat secara menyeluruh. Kita hadir untuk membantu menyelesaikan masalah, bukan mencari masalah,” katanya.
Menurutnya, secara umum pihaknya mengalu-alukan mana-mana individu atau pertubuhan yang ingin membantu, namun penyelesaian jangka panjang perlu diutamakan agar tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Pada lawatan tersebut, YB Zamakhshari turut menyampaikan sumbangan berupa tilam serta kerusi malas lipat untuk kegunaan Pak Mail.
Sementara itu, anak Pak Mail Abdullah Ismail, 59, menjelaskan bahawa keluarganya tidak pernah mengabaikan bapanya dan mendakwa maklumat yang tular tidak menggambarkan keadaan sebenar.
Menurutnya, sebelum isu tersebut tular, Penghulu Mukim Repek, Roma Hamat, 65, telah pun hadir ke kediaman mereka kira-kira tiga minggu lebih awal untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian terbaik, manakala gambar yang tular merupakan gambar lama.
“Bapa saya mengalami masalah nyanyuk sejak lebih setahun yang lalu dan mula berhalusinasi selepas pemergian ibu. Keadaannya menyebabkan dia sering memanjat dinding, memecahkan tingkap serta keluar rumah terutama pada waktu malam. Sebab itu kami terpaksa mengunci pintu kerana dia pernah hilang beberapa kali,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa bapanya enggan tinggal bersama anak-anak dan memilih untuk berada di rumah bersebelahan, selain pernah tinggal bersama cucu sulungnya sebelum ini.
“Dari segi keperluan harian, kami tidak pernah mengabaikan ayah. Makan minum disediakan sebelum saya keluar bekerja dan saya akan pulang pada waktu tengah hari untuk memandikan serta memakaikan pampers,” jelasnya.
Pegawai JKM Jajahan Pasir Mas Mohd Khairul Azhar berkata, hasil siasatan mendapati pihaknya telah menilai keadaan semasa Pak Mail dan menyalurkan bantuan yang bersesuaian termasuk bantuan pesakit terlantar.
“JKM telah meluluskan pengesyoran bantuan pesakit terlantar yang mana diberi kepada cucu keempat untuk menjaga Pak Mail dengan lebih baik dan berkualiti. Kami juga melihat kualiti penjagaan adalah berasaskan keluarga,” ujarnya.
Tambahnya, JKM turut meluluskan bantuan bulanan sebanyak RM500 kepada Pak Mail serta elaun pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) sebanyak RM450 sebulan kepada anak bongsu Abdullah yang merupakan seorang OKU pembelajaran.





0 Comments