Speaker perlu bebas kecenderungan politik

 


KOTA BHARU: Peranan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) atau Dewan Rakyat begitu penting sebagai pemudah cara kepada perbahasan yang lebih adil dan berimbang.

Speaker Dun Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, peranan Speaker memastikan setiap ahli diberi hak bersuara tanpa rasa takut atau diskriminasi.

Kata beliau Speaker seperti seorang hakim, di mana tanggungjawab utama mendengar pandangan kerajaan dan pembangkang secara saksama serta kekal bebas daripada kecenderungan peribadi atau politik.

“Sikap berkecuali dan adil dalam mengendalikan persidangan akan meningkatkan mutu perbahasan, sekali gus membantu menghasilkan keputusan lebih berkualiti demi kepentingan awam,” katanya pada persidangan Serantau CPA Asia Ke-7 dan Persidangan Bersama CPA Asia & Asia Tenggara Ke-2 di Pakistan baru-baru ini.

Turut mewakili kerajaan Kelantan Timbalan Speaker Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi, Adun Kuala Balah Datuk Abdul Hadi Awang Kechil dan Setiausaha Dewan Mohd Fadzil Aznan Abdul Aziz.

Mohd Amar juga berkata, parlimen bukan sekadar institusi berasaskan peraturan, sebaliknya mencerminkan nurani negara sebagai tempat dasar dirumus.

Menurutnya perbezaan pandangan diselesaikan dengan baik bagi mencapai hala tuju masa depan lebih cemerlang.

“Parlimen dan Dewan Undangan Negeri merupakan teras utama sistem demokrasi berperlembagaan, sekali gus menjadi medan penting wakil rakyat menyuarakan pandangan serta menggubal undang-undang demi kepentingan negara dan rakyat,” ujarnya.  

Kata beliau juga persidangan tersebut menyediakan platform strategik kepada Speaker dan pembuat undang-undang dari seluruh rantau Asia bertukar pengalaman, mempelajari amalan terbaik serta memperkukuh institusi demokrasi berparlimen.

“Saya berharap persidangan kali ini dapat menyumbang secara positif dalam menangani cabaran semasa serta memperkukuh keberkesanan fungsi parlimen dan Dun di rantau Asia,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Parlimen Pakistan, Dewan Undangan Wilayah Sindh dan Sekretariat CPA Asia sebagai tuan rumah persidangan terbabit.

Abdul Hadi pula merakam ucapan terima kasih kepada kerajaan Kelantan kerana memilihnya mengiringi Speaker dan Timbalan Speaker Dun Kelantan ke persidangan tersebut.  

Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai penjawat awam selama 38 tahun termasuk di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertahanan.

 

 

Post a Comment

0 Comments