Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 23 Mac – “Orang sentiasa memerhatikan negeri kita. Jadi kita kena tonjolkan kelebihan yang ada pada kita sebagai anak Kelantan dari semua segi, termasuk agama, sahsiah, peribadi diri, keluarga dan masyarakat.”
Demikian penegasan Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan yang mengingatkan anak-anak Kelantan di perantauan agar sentiasa memelihara nama baik negeri serta menampilkan keperibadian unggul berteraskan nilai agama dan akhlak.
Beliau berkata, Kelantan sering menjadi tumpuan pelbagai pihak, justeru setiap anak perantau memikul tanggungjawab besar sebagai duta kecil negeri dalam mencerminkan imej masyarakat yang beradab, berprinsip dan berjati diri tinggi.
Menurutnya, setiap individu perlu menzahirkan kelebihan yang dimiliki, khususnya dalam aspek keagamaan, sahsiah dan keperibadian, sekali gus menjadi contoh terbaik kepada masyarakat luar.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mesra Aidilfitri Pimpinan Kerajaan Negeri Bersama Anak Kelantan di Perantauan 1447H/2026M di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan (YIK), Tunjong, di sini malam tadi.
Majlis tahunan kelolaan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) itu diadakan bagi meraikan kepulangan anak-anak Kelantan dari seluruh negara yang pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman.
Mengulas lanjut, beliau berkata setiap negeri memiliki kekuatan dan kekurangan tersendiri, namun anak Kelantan perlu memberi tumpuan untuk menonjolkan kekuatan yang dimiliki sebagai nilai tambah yang membina persepsi positif terhadap negeri.
“Apa yang lebih baik pada orang lain, kita contohi demi penambahbaikan diri dan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Presiden Persatuan Anak-anak Kelantan di Perantauan (PERAKAN), Muhamad Arif Yusuf menyifatkan anak Kelantan di luar negeri sebagai aset penting yang terus mengangkat identiti serta nilai jati diri walau di mana berada.
Beliau berkata, golongan tersebut merangkumi pelajar institusi pengajian tinggi serta mereka yang terlibat dalam pelbagai sektor termasuk keusahawanan dan korporat.
“Walaupun berjauhan, mereka tetap berperanan mengangkat imej negeri melalui nilai budaya, semangat muafakat dan pegangan hidup yang menjadi teras masyarakat Kelantan sejak dahulu,” katanya dalam ucapan alu-aluan.
Tambahnya, kesinambungan nilai tersebut perlu terus dipelihara agar jati diri anak Kelantan kekal utuh dalam mendepani cabaran semasa.




0 Comments