Oleh Salmah Mat
Husain |
KOTA BHARU:
Tengku Temenggong Kelantan menzahirkan rasa bangga di atas komitmen berterusan
kerajaan negeri yang sentiasa meraikan serta mengiktiraf peranan golongan Orang
Kurang Upaya (OKU).
Tengku Tan Sri Mohamed Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, golongan OKU perlu disantuni secara adil dan saksama kerana mereka juga sebahagian daripada masyarakat.
Menurutnya penyertaan mereka dalam pelbagai bidang wajar terus dipertingkatkan.
“Setiap individu mempunyai kelebihan dan kemahiran tersendiri yang perlu dicungkil dan diberi perhatian tanpa mengira siapa mereka.
“Golongan OKU adalah insan istimewa dan doa-doa mereka merupakan rahmat buat kita semua,” katanya ketika merasmikan program Menggapai Keberkatan Ramadan OKU di Masjid Jamek Sultan Mansur Kampung Sireh, di sini hari ini.
Hadir sama anggota-anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Rohani Ibrahim, Ustaz Mohd Asri Mat Daud, Timbalan Exco Nor Asilah Mohamed Zain, wakil-wakil rakyat, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan Dato' Mohd Anis Hussein dan wakil NGO OKU.
Menurutnya juga keberadaan komuniti OKU dalam masyarakat, termasuk dalam kepimpinan sudah lama dipraktikkan sejak zaman Rasulullah SAW.
Tambahnya, usaha memperkasa peranan OKU perlu diteruskan sebagai manifestasi keprihatinan kerajaan dalam menyantuni, mengasihi serta mengiktiraf pencapaian mereka berlandaskan dasar kerajaan.
Menurut beliau, Malaysia dan Kelantan khususnya memerlukan hala tuju yang dinamik dan strategik dalam memperkasa modal insan daripada komuniti OKU.
“Cabaran OKU bukan sahaja dari sudut fizikal, malah turut melibatkan aspek mental dan emosi,” ujarnya.
Sempena program itu diadakan forum Pembangunan OKU Dan Cabaran dengan mengetengahkan Yang dipertua Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Mohamed Faizal Che Yusof dan Pegawai Agama Jajahan Pasir Mas Ustaz Saibon Ismail.



0 Comments