Kelantan terus perkasa agenda kebajikan

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan terus memperkasa agenda kebajikan dan memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada menerima manfaat, khususnya di bulan Ramadan sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri, Dato’ Rohani Ibrahim berkata, program ‘Menggapai Keberkatan Ramadan OKU’ sebagai menzahirkan dukungan terhadap agenda kebajikan rakyat, khususnya OKU.

Katanya, golongan OKU yang hadir pada program itu disumbang bantuan berbentuk wang tunai, beras, biskut dan kurma.

“Kejayaan penganjuran program ini hasil sinergi dan komitmen semua pihak yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan golongan OKU.

“Ia juga mencerminkan komitmen berterusan dalam usaha memperkasa kebajikan rakyat selaras dengan nilai rahmah dan keadilan sosial yang dituntut dalam Islam,” katanya pada program tersebut hari ini.

Program tersebut dirasmikan Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz di Masjid Jamek Sultan Mansur, Kampung Sireh.

Kira-kira 600 penerima mewakili tujuh persatuan di bawah Majlis Perundingan Pertubuhan OKU Kelantan (MPPOK) hadir.

Mereka mewakili Persatuan Orang Pekak Kelantan (POPK), Persatuan Insan Istimewa Kelantan (INSANI), Persatuan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Kelantan (SBM), Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia Wilayah Kelantan (PERTIS).

Selain itu Persatuan Rekreasi Cakna OKU Kelantan (RCO), Persatuan Orang Kelainan Upaya Bekerusi Roda Kelantan (OKUSIDA) dan Persatuan Prihatin Minda Istimewa Kelantan (PAMIK).

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan, Osman Omar berkata, program berkenaan membuktikan komitmen berterusan dalam usaha memperkukuh perpaduan serta kebajikan rakyat.

“Alhamdulillah, sebagai organisasi yang memperjuangkan kepentingan OKU, Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan akan terus memberi sokongan kepada kerajaan negeri dalam usaha memperkasakan komuniti OKU,” katanya.

Menurutnya MPPOK komited menyatukan agenda pembangunan kerajaan dengan menekankan kepentingan kefahaman dan penghayatan Islam sebagai teras pembinaan sosial.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri serta wakil-wakil rakyat atas sokongan berterusan terhadap perjuangan komuniti OKU di Kelantan.


 

Post a Comment

0 Comments