Oleh Salmah Mat Husain |
TUMPAT: Pemuda PAS
Dun Wakaf Bharu dan ARC Tumpat dengan kerjasama pelbagai pihak menganjur program
Kembara Ramadan Pemuda Wakaf Bharu 2026 bagi menyantuni keluarga kurang
bernasib baik.
Adun Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah berkata, sebanyak 13 keluarga di sekitar Mukim Wakaf Delima di Dun Wakaf Bharu disantuni sempena program berkenaan.
Katanya, tumpuan ziarah termasuk penduduk yang terlantar sakit, asnaf serta aktivis masyarakat setempat.
“Pendekatan turun padang penting bagi memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian khususnya dalam bulan yang penuh keberkatan.
“Alhamdulillah mereka menyambut baik kehadiran kami dan begitu gembira kerana disantuni dalam suasana Ramadan yang penuh rahmat,” katanya di sini semalam.
Program berkenaan turut disertai Ketua Pemuda PAS Dun Wakaf Bharu, Mohd Faisal Suki.
Adun Wakaf Bharu turut menghadiri program tadarus dan iftar bersama masyarakat Mukim Kubang Batang yang diadakan di Masjid Iktikaf Ar-Rahim. Program tadarus dipimpin Ustaz Muhd Sufian Abdul Aziz.
Mohd Rusli turut berharap program seumpama itu dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi memperkukuh hubungan dengan masyarakat setempat dan memastikan tiada golongan tercicir daripada menerima bantuan kebajikan.


0 Comments