Oleh Salmah Mat Husain |
KUALA TERENGGANU:
Kerajaan Terengganu berusaha memposisikan negeri itu sebagai hab wacana
pemikiran Islam serta pusat penyatuan ummah di peringkat nusantara dan global.
Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Penerangan dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Terengganu dianggap sebagai titik pertemuan bagi perbincangan strategik dan penyatuan umat.
Katanya, usaha itu dilakukan antaranya melalui penganjuran Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 yang akan berlangsung pada 2 hingga 4 April ini di perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus.
Menurutnya penganjuran kali ini dijangka menghimpunkan ulama, cendekiawan, tokoh pimpinan masyarakat dan delegasi antarabangsa dari pelbagai negara.
“Pertemuan tersebut bertujuan memperkukuh jaringan kerjasama dan merangka gagasan bersama demi kesejahteraan sejagat.
“Ijtima’ tersebut menjadi platform penting untuk kita memperkasa agenda perpaduan ummah dalam suasana dunia Islam yang berdepan pelbagai cabaran semasa,” katanya pada kenyataan media hari ini.
Pelbagai pengisian sepanjang program berkenaan termasuk syarahan perdana, forum antarabangsa, dialog kepimpinan serta Sidang Meja Bulat (RTD).
Dr Muhammad Khalil berkata, antara fokus utama yang akan dibincang isu penyatuan ummah, cabaran geopolitik dunia Islam, peranan generasi muda dalam dakwah kontemporari serta pengukuhan kerjasama antara negara-negara alam Melayu.
“Kerajaan negeri menjemput seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Terengganu hadir memeriahkan program tersebut,” ujarnya.

0 Comments