MB Kelantan santuni 98 wakil kaum dan penjawat awam bukan Islam


Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 3 Mac – Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassurudin Daud menyantuni 98 wakil kaum dan penjawat awam bukan Islam sempena sambutan Tahun Baharu Cina dalam satu majlis yang berlangsung di Kediaman Rasmi Menteri Besar (JKR 10), semalam.

Majlis tersebut merupakan tradisi tahunan yang diadakan bagi meraikan komuniti bukan Islam yang berkhidmat di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka kepada pembangunan negeri.

Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 76 orang merupakan lantikan politik penghulu wakil kaum bukan Islam, sembilan orang Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bukan Islam dan 13 orang penjawat awam yang berkhidmat di bawah pentadbiran kerajaan negeri.


Menteri Besar menegaskan bahawa perbezaan budaya dan bangsa bukanlah penghalang untuk rakyat terus saling menghormati dan meraikan dalam suasana penuh harmoni.

“Perbezaan budaya dan bangsa bukanlah penghalang untuk kita saling menghormati dan meraikan dalam suasana penuh harmoni. Inilah kekuatan sebenar Negeri Kelantan, perpaduan yang utuh dalam kepelbagaian, demi merealisasikan aspirasi Kelantan Maju, Rakyat Sejahtera,” katanya menerusi laman rasmi, semalam.

Tambahnya, sambutan bersempena Tahun Baharu Cina itu turut menjadi simbol komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memupuk semangat muhibah dan memperkukuh perpaduan antara kaum, khususnya dalam struktur pentadbiran negeri.


Dalam majlis berkenaan, Menteri Besar turut menyampaikan buah limau sebagai simbol kesejahteraan serta angpau kepada para penerima sebagai tanda penghargaan dan meraikan sambutan perayaan tersebut.



Post a Comment

0 Comments