PASIR PUTEH, 3 Mac – Ahli Dewan Negeri (ADN) Semerak YB Nor Sham Sulaiman menyantuni para petugas barisan hadapan sekitar DUN Semerak menerusi program Terjah Sahur anjuran Pusat Khidmat DUN Semerak, awal pagi tadi.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi Pusat Khidmat DUN Semerak, program tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada petugas barisan hadapan.
"Sumbangan juadah sahur ini adalah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas dedikasi mereka yang tidak kenal erti penat lelah berkhidmat unyuk masyarakat, terutamanya di bulan Ramadan yang penuh berkat ini," katanya.
Program yang bermula seawal pukul 12 tengah malam itu telah mengunjungi beberapa lokasi utama sekitar Semerak iaitu Balai Polis Cherang Ruku, Klinik Pergigian Cherang Ruku, Balai Bomba & Penyelamat Tok Bali, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Pengkalan Tok Bali, Pengkalan Perlabuhan Tok Bali serta Shell Tok Bali.
Sebanyak lebih 50 pek juadah sahur yang mengandungi nasi bungkus, air mineral dan kurma telah diedarkan kepada anggota yang sedang bertugas.
Menurut YB Nor Sham, inisiatif tersebut bertujuan berkongsi rezeki sekali gus sebagai simbol sokongan moral kepada para petugas yang terus komited memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara walaupun ketika waktu orang lain sedang berehat.



0 Comments