Medan tempur alaf sekarang beralih ke era digital

 
Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Kepantasan dan ketepatan maklumat kini menjadi senjata utama dalam menghadapi cabaran semasa termasuk suasana politik dan pilihan raya.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, medan ‘peperangan’ alaf sekarang bukan lagi secara fizikal semata-mata, sebaliknya beralih ke era digital.

Katanya, strategi, kepantasan dan ketepatan maklumat menjadi senjata utama termasuk pendukung-pendukung politik.

“Teknologi digital hari ini amat canggih dengan maklumat berada di hujung jari serta data boleh dikumpul dan dianalisis dalam pelbagai bentuk.

“Jika kita lambat, kita kalah dalam persepsi. Jika kita tidak cekap, kita kalah dalam strategi. Justeru, jentera IT mesti cepat, cekap dan mahir,” katanya pada majlis Iftar Perdana Pasukan IT Kelantan di sebuah hotel di sini baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Exco Kamaruzaman Mohamad, Pengurus Besar Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd Zainul Amin Mat Zain; Ahli Jawatankuasa Lajnah IT dan Data Raya PAS Negeri serta Penyelaras ICT Dun (PICT).

Wan Roslan juga berkata, pertahanan maklumat amat penting kerana serangan siber boleh berlaku pada bila-bila masa dan fitnah mudah tersebar hanya dalam beberapa minit.

Begitu juga dalam suasana menghadapi pilihan raya boleh berlaku pada bila-bila masa.

Sehubungan itu katanya, jentera tidak boleh bergantung kepada maklumat lama atau data yang kabur, sebaliknya segala maklumat mesti tepat dan terkini.

“Kerja ini mungkin tidak kelihatan di hadapan, namun ia sangat penting sebagai benteng pertahanan dan senjata dakwah,” katanya.

Beliau turut menyentuh kepentingan penghayatan Al-Quran yang bukan sekadar dibaca, sebaliknya difahami, ditadabur dan diamalkan.

Menurutnya, dalam era sekarang terdapat fenomena membaca terlalu cepat tanpa penghayatan sehingga menjadikan bacaan sebagai pertandingan kepantasan.

Beliau berkata, penghayatan Al-Quran mesti bermula dalam keluarga melibatkan suami, isteri dan anak-anak.

 

Post a Comment

0 Comments