Malaysia perlu suara mententeram keadaan

KOTA BHARU: Malaysia sangat memerlukan suara yang mententeramkan keadaan dan bukan pihak yang memarakkan ketegangan.

Setiausaha Agung PAS Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, semua pihak termasuk pemimpin, pertubuhan dan platform media hendaklah agar sentiasa bertindak lebih matang dan bertanggungjawab ketika mengulas isu-isu melibatkan hubungan kaum.

Katanya, PAS menegaskan isu-isu berkait agama dan identiti kaum hendaklah ditangani dengan penuh kebijaksanaan, sikap tenang dan kepekaan mendalam terhadap sifat asasi masyarakat yang majmuk dan pelbagai.

“PAS memandang serius ketegangan dan pertelingkahan terbuka melibatkan beberapa pertubuhan dan individu beragama Hindu dengan sosok tertentu dalam kalangan anggota masyarakat, terutamanya yang beragama Islam kebelakangan ini.

“PAS akur sensitiviti berkaitan agama, sejarah dan tempat ibadat adalah amat dekat dengan semua komuniti dan kumpulan masyarakat,” katanya pada kenyataan hari ini.

Oleh itu kata beliau isu tersebut hendaklah ditangani secara berhemah dan matang, tanpa provokasi atau sikap melampau mana-mana pihak.

Menurutnya percubaan untuk membingkaikannya dengan cara yang menyuburkan syak wasangka, kebencian dan permusuhan antara komuniti atau kumpulan merupakan perbuatan sangat tidak bertanggungjawab dan mesti ditolak semua pihak.

“Peranan pihak berkuasa dalam mengurus ketegangan atau pertikaian yang berlaku dengan kadar segera, telus dan adil amat penting.

“Penjelasan tepat, penguatkuasaan undang-undang yang adil dan tidak memihak serta komunikasi krisis yang jelas daripada pihak berwajib sangat perlu bagi mengelakkan salah faham, spekulasi dan prasangka atau peningkatan ketegangan yang tidak perlu,” katanya.

Takiyuddin yang juga ahli parlimen Kota Bharu berkata, PAS terus komited usaha memelihara keharmonian dan perpaduan rakyat pelbagai latar belakang kepercayaan dan budaya.

Selain itu kekal menjunjung hak dan kehormatan seperti yang dijamin perlembagaan negara.

 

 

Post a Comment

0 Comments