Budak didera dapat perhatian kerajaan negeri

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Laporan kes disyaki penderaan melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di Kampung Sungai Mas, Machang turut mendapat perhatian segera kerajaan negeri.

Berdasar laporan penderaan dipercayai dilakukan oleh ibu dan bapa saudara mangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Dato’ Rohani Ibrahim berkata, perbuatan tersebut boleh dianggap sebagai pengkhianatan terhadap amanah besar dalam institusi keluarga.

Katanya, mangsa menerima rawatan dan sokongan psikososial selepas tindakan pantas dilakukan penduduk kampung, penghulu serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Mangsa kini berada dalam keadaan selamat. Terima kasih penduduk kampung, penghulu dan JKM yang mengambil tindakan segera bagi memastikan mangsa berada dalam keadaan selamat.

“Pengkhianatan terhadap amanah besar dalam institusi keluarga sama sekali tidak boleh dikompromi,” katanya pada kenyataan semalam.

Menurut laporan, kes tersebut terbongkar selepas mangsa yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik dibawa ke Klinik Kesihatan Bukit Bakar untuk mendapatkan rawatan pada Isnin lalu.

Rohani berkata, kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh kes tersebut.

“Tindakan tegas mesti diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah mengikut peruntukan undang-undang, khususnya di bawah Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya mengutamakan pendekatan bimbingan serta nasihat mendidik anak-anak.

Post a Comment

0 Comments