Oleh A Rahman Haron |
KOTA BHARU: Beberapa
pusat membeli-belah di sini masih boleh bertahan, malah terus mencatat peningkatan jualan
antaranya AEON Mall, Mydin Mall dan Lotus.
Selain itu Pasar Raya Bilion yang melaksanakan transformasi berjaya mencatat jualan lebih baik.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dato’ Kamarudin Md Nor bagaimanapun berkata, beberapa lokasi ikonik suatu ketika dahulu mengalami kekurangan pengunjung.
Katanya, situasi yang berlaku itu boleh menjejaskan kedatangan pelancong sekiranya tidak ditangani sebaik mungkin.
“Semua pasar raya tersebut milik swasta, ada yang datang mohon bantuan kita dalam bentuk cadangan dan permohonan mengadakan program bersama.
"Antara yang datang jumpa mencadangkan mengadakan program bersama iaitu Pasaraya AEON, alhamdulillah mereka agak agresif dalam marketing," katanya di sini.
Pada sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini Adun Bunut Payong, Shaari Mat Yaman melahirkan kebimbangan urusniaga Pasar Borong Wakaf Che Yeh tidak lagi semeriah dahulu.
Kamarudin berkata, pihaknya mengadakan perbincangan dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam bagi memastikan ikonik pelancongan tersebut terus bertahan.
Bagaimanapun katanya, berbeza dengan Dataran MPKB-BRI di pusat bandar kini mendapat sambutan menggalakkan dan menjadi tumpuan pelancong pada waktu malam.




0 Comments