
KUALA LUMPUR:
Kekerapan gangguan teknikal melibatkan pengangkutan utama di bawah seliaan
Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak boleh dianggap sebagai kes terpencil.
Terbaharu melibatkan sistem pengendalian bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyebabkan kelewatan serta kesulitan penumpang.
Sebahagiannya besar mereka dilaporkan terpaksa menunggu beberapa jam untuk mendapatkan bagasi masing-masing.
Malah sebelum itu pengguna turut berdepan gangguan perkhidmatan rel bandar, termasuk LRT Kelana Jaya Line, MRT Putrajaya Line serta beberapa gangguan teknikal lain menyebabkan kesulitan ribuan pengguna.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, kegagalan operasi seperti itu menimbulkan persoalan serius mengenai tahap kebolehpercayaan, kesiapsiagaan dan mutu pengurusan infrastruktur kritikal pengangkutan awam negara.
“Apabila gangguan berlaku merentasi pelbagai mod pengangkutan menunjukkan wujudnya cabaran lebih besar berkaitan pengurusan operasi, standard penyelenggaraan, daya tahan sistem serta keberkesanan pelan kontingensi.
“Kejadian tersebut tidak boleh dianggap insiden teknikal terpencil, sebaliknya perlu dilihat sebagai petunjuk kelemahan sistemik yang lebih mendalam dan memerlukan tindakan segera serta pendekatan menyeluruh,” katanya pada kenyataan hari ini.
Semalam media melapor penumpang mendakwa berlaku kelewatan luar biasa urusan pengambilan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Ada penumpang terpaksa menunggu sehingga empat jam untuk mengambil bagasi mereka selepas keluar di balai ketibaan.
Takiyuddin yang juga ahli parlimen Kota Bharu berkata, infrastruktur pengangkutan awam merupakan aset kritikal negara yang perlu beroperasi secara konsisten, cekap dan boleh dipercayai.
“Lebih-lebih lagi KLIA merupakan hab pengangkutan antarabangsa utama dan pintu masuk pelancongan, perdagangan dan pelaburan negara.
“PN menggesa Kementerian Pengangkutan memberi penjelasan yang telus dan menyeluruh berhubung masalah yang berlaku melibatkan agensi-agensi di bawahnya,” ujarnya.
MOT juga perlu mendedahkan punca sebenar kegagalan tersebut sama ada rejim penyelenggaraan pencegahan mencukupi, kerja naik taraf sistem berjalan lancar atau pelan kontingensi sedia ada benar-benar berkesan menangani gangguan operasi.
Pada masa yang sama, aspek kebertanggungjawaban perlu didedahkan sekiranya wujud kelemahan, kecuaian atau kegagalan pengurusan yang menyumbang kepada insiden-insiden seperti itu.
Kata beliau orang ramai berhak mendapat jaminan langkah pembetulan sedang dan akan dilaksanakan secara tegas serta berkesan.
Menurutnya juga walaupun Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan memanggil mesyuarat tergempar susulan insiden terbaru di KLIA, namun ia tidak boleh dilihat secara terpencil.
Beliau berkata, isu terbabit perlu ditangani sebagai sebahagian daripada cabaran sistemik melibatkan pelbagai mod pengangkutan yang memerlukan pelan pemulihan serta penambahbaikan secara menyeluruh dan bersepadu.
“MOT perlu mengemukakan garis masa yang jelas dan munasabah merangkumi tindakan segera, pelan penambahbaikan jangka sederhana serta langkah memperkukuh daya tahan sistem berjangka panjang,” ujarnya.
Katanya juga langkah-langkah segera bagi memulihkan kebolehpercayaan dan kecekapan perkhidmatan hendaklah dijadikan keutamaan nasional dan bukannya dilihat sebagai isu semasa yang lenyap tanpa penyelesaian.



0 Comments