'Kelantan Future Leaders' lahir generasi pemimpin kompeten

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Kerajaan negeri komited membangunkan modal insan khususnya dalam kalangan belia melalui pelaksanaan Kelantan Future Leaders Institute (KFLI).

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhammad berkata, inisiatif tersebut bertujuan melahirkan pemimpin muda yang kompeten dari segi ilmu.

Selain itu unggul akhlak serta mempunyai visi memartabatkan Islam.

Kata beliau pendekatan KFLI menekankan pembentukan kepimpinan yang berteraskan nilai ‘Al Qawiy Al Amin’ iaitu kuat dan amanah seperti digariskan dalam al-Quran.

“Kerajaan negeri menetapkan beberapa teras strategik dan panduan silibus kurikulum bagi memastikan matlamat tersebut dapat dicapai secara berkesan,” katanya ketika menjawab soalan Mohamad Nasriff Daud (PAS-Pengkalan Pasir) di sidang Dun hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan KFLI memberi penekanan kepada tiga aspek utama iaitu pembangunan ilmu dan kepakaran, pembentukan akhlak serta pengukuhan visi kepimpinan masa depan.

Katanya, pelbagai program diadakan termasuk Kelantan Future Leaders Camp, bootcamp, akademi dan Adun Belia yang dilaksanakan secara berperingkat mengikut umur.

“Peserta didedahkan dengan modul akhlak seperti tazkiyatun nafs, kepimpinan berintegriti serta khidmat masyarakat bagi membentuk nilai kepimpinan berteraskan Islam.

“Mereka turut dibimbing merangka pelan tindakan selaras dengan visi Kelantan Sejahtera 2033 agar mampu menjadi ejen perubahan dalam masyarakat,” ujarnya.

Beliau juga berkata, bagi tempoh Januari 2025 hingga Mac 2026 seramai 1,040 belia dilatih melalui tujuh program utama KFLI.

Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 604 orang merupakan alumni terdiri daripada 306 lelaki dan 298 perempuan melibatkan pelajar sekolah, mahasiswa serta lepasan pengajian tinggi.

Menurutnya juga kerajaan negeri sedang membangunkan Indeks Kompetensi Belia Kelantan sebagai mekanisme berasaskan data untuk menilai pencapaian peserta serta mengenal pasti pelapis kepimpinan berpotensi.

Tambah beliau, inisiatif tersebut merupakan sebahagian komitmen kerajaan negeri bagi memastikan Kelantan memiliki generasi pemimpin yang kompeten, amanah dan mampu memartabatkan Islam.

 

Post a Comment

0 Comments