Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU:
Kerajaan negeri berjaya mengutip hasil tanah memberangsangkan tahun 2025 iaitu berjumlah
RM380 juta.
Menteri Besar, Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, ia merupakan satu pencapaian hasil usaha bersepadu Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) bersama Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) di seluruh negeri.
Katanya, kejayaan itu didorong pengukuhan tadbir urus serta pemantauan kutipan hasil yang lebih sistematik dan berfokus.
Menurutnya, PTG memperkemaskan mekanisme pemantauan dengan menetapkan sasaran kutipan di setiap jajahan.
“Pemantauan prestasi turut dilaksanakan secara berkala bagi memastikan setiap sasaran dapat dicapai dengan lebih berkesan.
“Proses permohonan berkaitan tanah seperti pemberi milik, tukar syarat dan pecah sempadan kini diproses secara sistematik dan teratur,” katanya menjawab soalan Zuraidin Abdullah (PAS-Chetok) pada sidang Dun hari ini.
Ustaz Mohd Nassuruddin juga berkata, pemerkasaan sistem pembayaran serta perkhidmatan digital turut membantu mempercepatkan setiap urusan berkaitan tanah.
Kata beliau penyediaan kemudahan pembayaran hasil tanah secara atas talian dan pendigitalan meningkatkan ketelusan serta keberkesanan pengurusan kutipan hasil.
Katanya, kerajaan negeri akan meneruskan langkah strategik bagi mengekal dan meningkatkan prestasi kutipan hasil tanah pada tahun ini.
“Antara langkah tersebut termasuk menetapkan KPI kutipan hasil yang jelas di setiap PTJ berdasar potensi kawasan masing-masing.
“Kerajaan negeri juga akan mengoptimumkan penggunaan tanah kerajaan melalui pembangunan strategik, pajakan serta kerjasama pembangunan yang berpotensi menjana hasil,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan meningkatkan kesedaran dan pematuhan pembayar cukai dalam kalangan rakyat melalui pelbagai saluran komunikasi.
Katanya, usaha itu penting supaya pemilik tanah memahami tanggungjawab menjelaskan cukai tanah tepat pada masanya.
“Pada masa sama penguatkuasaan di bawah Kanun Tanah Negara akan dipertingkat bagi memastikan pematuhan undang-undang serta mengelakkan sebarang ketirisan hasil negeri,” katanya.



0 Comments