Oleh A Rahman Haron | Foto Arjuna Beta |
PASIR PUTEH:
Perdana Menteri menegaskan agenda kebajikan rakyat mesti terus dijunjung dan
disegerakan, khususnya membasmi kemiskinan yang masih membelenggu masyarakat.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan sebanyak RM20 juta dilulus bagi pelaksanaan program pembasmian kemiskinan di Kelantan, yang akan diselaras Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
Katanya, penyelarasan itu bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan serta manfaatnya sampai kepada golongan yang memerlukan.
“Insya-Allah, Kerajaan Madani akan terus komited membantu Kelantan dari segenap aspek, demi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara dan pembangunan dapat dinikmati semua,” katanya pada Majlis Ramah Mesra di Masjid Gong Chapa, Temila semalam.
Hadir sama Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud; Ketua Setiuasaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dan wakil-wakil rakyat.
Pada majlis itu Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 membaik pulih Sekolah Menengah Ugama (Arab) Darul Ulum Al-Muhammadiah di Kampung Kolam, Bachok yang terbakar baru-baru ini.
Anwar juga berkata, mengimarahkan institusi masjid sebagai nadi penyatuan ummah.
Sementara itu Menteri Besar merakam penghargaan kepada Perdana Menteri kerana mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi menangani kemiskinan dan RM500,000 untuk membaikpulih SMU(A) Darul Ulum Al-Muhammadiah.
Katanya, bantuan tersebut akan digunakan bagi melaksanakan kerja-kerja membaik pulih akibat kebakaran yang berlaku baru-baru ini.
“Di atas peruntukan yang diumumkan, saya merakamkan penghargaan dan Kelantan amat mengalu-alukannya demi kelangsungan dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Sempena lawatan ke Pasir Puteh, Perdana Menteri turut mempengerusikan mesyuarat Pembangunan Jajahan Pasir Puteh yang diadakan di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh.
Sebelum itu ketika merasmikan terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Anwar memuji pembinaan yang sarat dengan simbol dan reka bentuk moden bercirikan identiti tempatan.
Beliau berkata, bangunan yang menjadi simbol kemajuan dan kebangsaan rakyat Kelantan.
“Bukan sahaja sekadar pintu masuk udara tetapi juga menjadi pandangan pertama bagi pengunjung ke Negeri Cik Siti Wan Kembang.
“Sepanjang saya berkhhidmat sebagai Perdana Menteri beberapa kali mengadakan lawatan kerja ke Kelantan dapat melihat lapangan terbang ini dibina dengan reka bentuk tempatan yang menarik," katanya.
Menurutnya juga pembangunan bukan sekadar meningkatkan mutu perkhidmatan, malah berperanan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat, merangkumi sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan.
Terminal baharu itu mampu menampung jumlah penumpang daripada 1.5 juta kepada 4 juta serta membuka laluan baharu ke pasaran antarabangsa.
Projek naiktaraf bernilai RM440 juta merangkumi terminal baharu yang lebih moden, pemanjangan landasan kepada 2,800 meter, serta kemudahan tiga jejambat pesawat. Projek itu bermula pada April 2021.





0 Comments