Pembesaran Lapangan Terbang pemangkin ekonomi Kelantan

Oleh A Rahman  Haron | Foto Arjuna Beta

PENGKALAN CHEPA: Pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa bakal menjadi pemangkin utama ekonomi negeri Kelantan.

Menteri Besar, Dato Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud menyifatkan langkah itu sebagai pemangkin strategik ekonomi dan sosial yang memberi kesan langsung kepada rakyat bagi menjana lebih banyak peluang pekerjaan.

Katanya usaha naik taraf terbesar sejak ia mula dibangunkan mempunyai kemudahan lebih baik termasuk keluasan bertambah serta jarak landasan lebih panjang.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Persekutuan pimpinan Dato’ Anwar Ibrahim, atas komitmen berterusan dalam merealisasikan pembinaan terminal LTSIP baharu yang lebih moden dan berdaya saing.

"Ia sebahagian pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 dalam kerangka pembangunan negara melibatkan pembesaran terminal serta pemanjangan landasan bagi membolehkan pengoperasian pesawat yang lebih besar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Terminal LTSIP di Pengkalan Chepa di sini hari ini yang disempurnakan oleh Perdana Menteri.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Timbalan Menteri Besar, Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Ustaz Mohd Nassuruddin turut menambah projek Jambatan Palekbang ke Kota Bharu yang dijangka siap pada akhir tahun 2027, bakal menjadi satu lagi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi negeri Kelantan.

Katanya kemudahan tersebut bukan sahaja melancarkan hubungan antara jajahan Kota Bharu dan Tumpat, malah memperkukuhkan lagi laluan strategik yang menghubungkan perbatasan negara ke LTSIP dengan lebih efektif.

Menurut beliau, jambatan dan jalan sepanjang kira-kira empat kilometer itu yang menelan belanja sekitar RM299 juga menjadi alternatif utama bagi mengurangkan kesesakan lalulintas yang berlaku di Jabatan Sultan Yahya Petra.

"Kedudukan strategik itu memberi kelebihan yang  berpotensi menjadi pintu masuk utama ke rantau ini, sekali gus memperkukuh peranan negeri sebagai hab perhubungan, perdagangan dan pelancongan serantau.

 "Impak pembangunan semakin positif, termasuk pelaksanaan beberapa projek infrastruktur sedang giat dijalankan, saya optimis, kita berada landasan tepat untuk memperkukuh taraf hidup rakyat secara  menyeluruh," katanya.

Post a Comment

0 Comments