Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU: Sektor
penternakan ruminan di Kelantan mempunyai potensi besar untuk terus diperkasa
melalui perancangan yang lebih tersusun.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, Kelantan negeri kedua tertinggi di negara ini dari segi bilangan pengusaha ternakan lembu dan kerbau.
Katanya, jumlah pengusaha ternakan lembu dan kerbau di Kelantan berada tempat kedua selepas Terengganu.
“Ini sekali gus membuktikan sektor penternakan ruminan menjadi antara penyumbang penting ekonomi negeri,” katanya ketika merasmikan Sesi Libat Urus Bancian Ternakan Ruminan Negeri Kelantan Tahun 2026 di Gelanggang Seni, di sini hari ini.
Menurutnya juga berdasarkan Banci Pertanian 2024 Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah pengusaha ternakan lembu dan kerbau di Kelantan direkod seramai 4,825 orang.
Bagi kategori pengusaha kambing dan bebiri jumlah yang direkodkan seramai 2,973 orang.
“Keadaan itu jelas menunjukkan Kelantan berada dalam kelompok negeri teratas di Malaysia dari segi penglibatan rakyat dalam aktiviti penternakan ruminan.
“Selain penternak komersial, unjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut mengambil kira penternak kecil-kecilan dan hobi, termasuk pemelihara lembu sado,” katanya.
Menurut beliau, berdasarkan unjuran jabatan berkenaan jumlah keseluruhan penternak ruminan di Kelantan dianggar sekitar 32,000 orang.
Tambahnya, jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding data komersial dan memberi gambaran sebenar penglibatan rakyat dalam sektor penternakan.
“Data yang lengkap akan membantu kerajaan negeri dalam aspek pembangunan industri, pengurusan penyakit, penyaluran bantuan serta pemantauan program secara lebih berkesan,” ujarnya.
Beliau juga berkata, bancian yang dilaksanakan penting bagi mendapatkan data tepat berkaitan populasi ternakan, lokasi ladang, status penternak serta amalan penternakan di lapangan.


0 Comments