KOTA BHARU: Sehingga kini seramai 5,720 hafiz dan hafizah berjaya dilahirkan melalui institusi pendidikan milik kerajaan negeri, sekali gus mencerminkan perkembangan positif pendidikan tahfiz di Kelantan.
Menteri Besar Dato Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, pencapaian tersebut selari dengan gagasan 'Satu Rumah Satu Hafiz al-Quran' yang kini berada di landasan tepat dalam usaha membentuk masyarakat sejahtera berteraskan Islam.
"Penghafaz al-Quran diingatjan tidak sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya tampil ke hadapan sebagai ejen perubahan yang memimpin masyarakat berlandaskan panduan wahyu," katanya ketika merasmikan Majlis Graduasi Tahfiz Kali Ke-16 Yayasan Islam Kelantan (YIK) bagi tahun 2025 di Dewan YIK, semalam.
Beliau berkata, para huffaz perlu memainkan peranan lebih besar dalam masyarakat, khususnya dalam membimbing ummah agar kembali menjadikan al-Quran sebagai asas kehidupan.
Katanya usaha memperkukuh kesatuan ummah perlu digerakkan secara berjemaah bagi memastikan kelangsungan kepimpinan Islam yang berteraskan nilai dan prinsip syariah.Menurutnya juga kejayaan menghafaz al-Quran bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan kesungguhan, disiplin tinggi serta pengorbanan berterusan sepanjang tempoh pengajian.
“Pencapaian ini merupakan anugerah besar daripada Allah SWT dan wajar disyukuri oleh semua pihak termasuk ibu bapa serta para guru yang mendidik pelajar,” katanya.
Beliau turut mengingatkan al-Quran bukan sekadar untuk dibaca dan dihafaz, tetapi merupakan kitab hidayah yang memandu seluruh aspek kehidupan manusia.
Sehubungan itu, para huffaz digesa meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap isi kandungan al-Quran supaya mampu menjadi rujukan serta pembimbing kepada masyarakat.Katanya, cabaran semasa termasuk isu perpaduan umat Islam dan kelemahan kefahaman terhadap konsep kepimpinan Islam perlu ditangani secara bersama.
Pada majlis tersebut seramai 432 hafiz dan hafizah diraikan setelah bwrjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran.




0 Comments