Penjawat awam perlu tingkat produktiviti

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Pembangunan infrastruktur di Kelantan hendaklah terus diperkasa supaya tidak ketinggalan berbanding negeri-negeri lain.

Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra bertitah pembinaan projek strategik seperti Kota Bharu Sentral dan integrasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) perlu diteruskan dengan kerjasama erat kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Beta amat berharap kerajaan negeri mengambil berat terhadap perancangan dan pelaksanaan infrastruktur dengan penglibatan langsung kerajaan Persekutuan,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas hari ini.

Baginda turut menzahirkan rasa sukacita di atas pengoperasian Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra yang telah siap dinaik taraf sepenuhnya.

Baginda turut menegaskan kepentingan tadbir urus yang cekap, telus dan berintegriti mesti diterapkan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Titah baginda penjawat awam hendaklah meningkatkan produktiviti serta memastikan penyampaian perkhidmatan awam dilaksanakan secara berkesan.

“Keyakinan rakyat dan pelabur terhadap pentadbiran negeri perlu dipelihara dengan memastikan pentadbiran bebas daripada isu rasuah dan pelanggaran integriti,” titah baginda.

Tambah baginda lagi pemerkasaan konsep Ubudiyyah, Masuliyyah dan Itqan (UMI) perlu diterapkan secara lebih mendalam dalam kalangan penjawat awam.


Post a Comment

0 Comments