Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU: Syarikat
SR Rezeki Venture menerima pengiktirafan Sijil Pengesahan Halal Malaysia kategori
kotej yang pertama di Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, syarikat itu mengeluarkan produk Lasagna Ayam Alfredo dan Lasagna Daging Bolognese.
Katanya, produk keluaran syarikat terbabit dibekalkan kepada beberapa premis tempatan termasuk Sogno Coffee, Alkhatiri Coffee dan Kayuan Coffee dan menerima tempahan masyarakat setempat.
“Pencapaian ini sebagai langkah penting dalam usaha memperkasakan industri makanan tempatan khususnya usahawan kecil untuk menembusi pasaran halal yang lebih luas.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada pemegang sijil halal kotej pertama di Kelantan bermula 1 April 2026. Semoga terus maju jaya,” katanya selepas penyerahan sijil halal kepada pemiliknya, Noor Syahirah Roslan di di Kampung Paya Bemban hari ini.
Menurutnya juga kejayaan tersebut membuktikan perusahaan berskala kecil juga mampu memenuhi standard pensijilan halal yang ditetapkan.
Turut hadir Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan Dr Hasnan Ramli dan pegawai Bahagian Pengurusan Halal.



0 Comments