Tahap Sara Diri beras era kerajaan PN 68 peratus

Oleh A Rahman Haron |

PASIR PUTEH: Tahap Sara Diri (SSL) beras di negara ini pernah mencecah 68 peratus ketika negara diterajui Perikatan Nasional (PN) bermula Mac 2020 sehingga akhir 2022.

Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pada tahun berikutnya SSL berada dalam lingkungan 62 peratus selepas kerajaan memperkenalkan Smart Sawah Skala Besar (Smart SBB).

Bagaimanapun menurut beliau, di bawah kerajaan Madani SSL merosot sehingga 48 peratus yang mendedahkan kebergantungan kepada bekalan beras yang diimport bagi memenuhi keperluan penduduk.

"Alhamdulillah zaman kerajaan PN SSL padi tempatan 68 peratus. Dalam masa dua musim sahaja pengeluaran padi naik kepada 72.8 peratus.

“Namun sekarang SSL negara kita 48 peratus," katanya pada ceramah jelajah penerangan isu semasa pasca sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini malam tadi.

Turut hadir Yang Dipertua PAS Pasir Puteh, Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa dan wakil-wakil rakyat.

Nik Zawawi berkata, apabila SSL padi negara menurun, ia bakal memberi kesan serius kepada keterjaminan makanan, pertumbuhan ekonomi dan kos sara hidup rakyat.

Kata beliau, kerajaan perlu melaksanakan inisiatif yang kukuh untuk meningkatkan semula SSL termasuk membangunkan sawah terbiar, meningkatkan teknologi penanaman padi serta memperluaskan lagi sawah.

Selain itu, menerapkan penghayatan agama kerana elemen tersebut bertindak sebagai pemangkin moral bagi meningkatkan produktiviti, ketelusan dan integriti dalam rantaian bekalan beras negara.

"Negara ini ada rahmatnya kalau kita laksanakan nizam Islami, rakyat pula kita beri tarbiah, begitu juga pegawai kerajaan pun kita bagi tarbiah.

"Kita sering memberitahu penjawat awam, hidup kita tidak lama, pangkat besar mana sekali pun akan mati juga, benda ini diterapkan dalam pentadbiran kerajaan," kata beliau.


 

Post a Comment

0 Comments