Gelaran Dai'e Nusantara julang aktiviti dakwah Ustaz Somad

 

TUMPAT: Pada peringkat awal penglibatan dengan dakwah Prof Ustaz Dr Abdul Somad memberitahu beliau hanya menyampaikan kuliah agama di masjid-masjid di kampungnya di Silo Lama, Asahan, Sumatera Utara.

Bagaimanapun kata beliau segalanya berubah selepas dianugerah sebagai Tokoh Dai’e Nusantara oleh kerajaan Kelantan pada 2019 ketika diundang ke negeri itu.

Anugerah yang diterimanya ketika itu berupa wang tunai, replika Masjid Kampung Laut, Dinar, Rida’ dan sijil penghargaan.

Manakala Ustaz Azhar Idrus pula dianugerah Anugerah Ikon Anak Muda sempena Hari Murabbi Ummah. Anugerah tersebut disampaikan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub pada program yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad 1V.

Ustaz Somad berkata, aktiviti dakwahnya berubah sepenuhnya selepas mendapat gelaran tersebut sehingga dikenali ramai di seluruh nusantara.

“Dahulu saya hanya menyampaikan kuliah agama di masjid-masjid di kampung saya, namun segalanya berubah selepas diberi gelaran Tokoh Dai'e Nusantara oleh kerajaan Kelantan pada 2019.

“Nama saya tiba-tiba naik ke puncak selepas mendapat gelaran tersebut,” katanya pada pidato Dai'e Nusantara di Pantai Sri Tujuh malam tadi.

Program tersebut dianjur kerajaan negeri. Turut hadir Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, anggota Exco Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, wakil-wakil rakyat, Tuan Guru Awang Yusof dari Pondok Gelang Mas dan pendakwah bebas Ustaz Mokhtar Yaakob.

Program tersebut bermula dengan solat Maghrib berjemaah. Kemudian diikuti kuliah Maghrib disampaikan Ustaz Mokhtar. Selepas solat Isyak diadakan solat hajat diimamkan Tuan Guru Awang.

Lokasi pelancongan tepi pantai tersebut sendat dengan kebanjiran rakyat Kelantan dan penduduk dari Selatan Thailand.

Ada kumpulan pelajar tahfiz dari Yala, Thailand datang mengikuti program tersebut. Seorang daripada mereka memberitahu sebelum ini beliau sering mengikuti kuliah Ustaz Abdul Somad melalui Youtube.

Bagaimanapun katanya kehadiran Ustaz Abdul Somad ke Tumpat direbut peluang untuk datang ke Kelantan bagi mengikuti kuliah pendakwah terkenal tersebut dari dekat. 

Ustaz Abdul Somad meurpakan seorang pendakwah dan ulama tersohor Indonesia yang mempunyai kepakaran dalam ilmu Hadis dan Fiqah.

Beliau berasal dari Asahan, Sumatera Utara dikenali anak-anak muda di Indonesia, Malaysia, Thailand, Singapura dan Brunei Darussalam secara meluas melalui YouTube.

Menurutnya juga beliau mengkagumi bekas Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, seorang ulama dan ketua kerajaan negeri yang terkenal di nusantara.

“Saya letak gambar almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz di rumah saya supaya anak-anak saya mengenali seorang pemimpin dan ulama terkenal di Kelantan,” ujarnya.

Ketika pertama kali diundang ke Kelantan pada 2019, beliau tidak sempat mengenali Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana sudah meninggal dunia.

Bagaimanapun beliau mengenali dari dekat bekas Menteri Besar Kelantan itu melalui kawan-kawan yang berasal dari Kelantan ketika belajar di Timur Tengah sebelum ini dan mengikuti rakaman kuliahnya.

Sementara itu Dr Mohamed Fadzli dan Wan Roslan meluah rasa terkejut dengan kehadiran orang ramai pada program tersebut biarpun ia dirancang dalam tempoh singkat.

Wan Roslan yang juga Adun Pengkalan Kubor berkata, program terbabit dirancang dalam tempoh seminggu selepas diberitahu pada Sabtu lepas.

Menurutnya beliau mendapat maklumat mengenai cadangan penganjuran program berkenaan ketika menziarahi penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor.

“Namun saya bersyukur kerana kerja keras para petugas membolehkan program Pidato Dai'e Nusantara berjalan dengan lancar, biarpun persiapan dibuat dalam tempoh begitu singkat,” ujarnya. 



 


Post a Comment

0 Comments