Oleh Salmah Mat Husain
KOTA BHARU: Kerajaan digesa meneliti terlebih dahulu kebocoran subsidi diesel di bawah Sistem Bekalan Diesel Bersubsidi (SKDS 2.0) sebelum mempertimbangkan pengurangan kuota BUDI95 daripada 200 liter kepada 150 liter.
Timbalan Menteri Besar Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, laporan mengenai kemungkinan pengurangan kuota itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat khususnya penduduk luar bandar.
Menurutnya, kerajaan perlu memahami peningkatan subsidi bahan api ketika ini dipengaruhi perkembangan geopolitik dunia termasuk konflik di Asia Barat.
“Sebelum kerajaan potong kuota rakyat untuk kali kedua, kerajaan perlu melihat dahulu kebocoran subsidi yang mengalir kepada syarikat gergasi asing.
“Diesel bersubsidi RM2.15 seliter di bawah SKDS 2.0 memang untuk pengendali logistik tempatan, namun timbul persoalan sama ada subsidi itu turut dinikmati syarikat antarabangsa yang membawa produk mewah dan bukan keperluan asas,” katanya pada kenyataan semalam.
Baru-baru ini Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong dilapor berkata, kuota 200 liter RON95 di bawah Program Budi Madani 95 (BUDI95) mungkin dikurangkan kerajaan bagi menjamin bekalan bahan api negara dalam mendepani krisis bekalan global, susulan konflik geopolitik Asia Barat.
Dr Mohamed Fadzli juga berkata, kerajaan perlu menjelaskan sama ada diesel subsidi yang digunakan bagi mengangkut beras dan sayur-sayuran oleh petani tempatan turut digunakan syarikat membawa produk makanan segera jenama asing, minuman bergas, arak dan barangan mewah import.
Katanya, keadaan itu tidak adil kerana syarikat besar yang mencatat keuntungan berbilion ringgit turut menikmati manfaat subsidi yang sepatutnya lebih memfokus kepada rakyat.
Menurutnya rakyat di kawasan luar bandar seperti di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak tidak mempunyai pilihan pengangkutan awam yang mencukupi seperti di bandar besar.
"Contoh seorang guru di Gua Musang yang perlu memandu sehingga 80 kilometer sehari untuk ke sekolah, selain nelayan di Tumpat yang bergantung kepada bahan api untuk urusan harian mereka.
“150 liter sebulan mungkin cukup untuk orang Kuala Lumpur yang ada MRT. Tapi untuk rakyat luar bandar, setiap liter itu amat berharga,” katanya.
Menurut beliau, penggunaan purata nasional yang menunjukkan 60 peratus rakyat menggunakan kurang daripada 150 liter sebulan tidak menggambarkan realiti sebenar kehidupan masyarakat luar bandar.
Sehubungan itu beliau mencadangkan kerajaan mengetatkan syarat penggunaan subsidi diesel di bawah SKDS dengan mengasingkan jenis barangan yang layak menggunakan diesel subsidi.
Katanya, pengangkutan melibatkan beras, sayur-sayuran, ubat dan barangan asas rakyat wajar terus menikmati subsidi penuh, manakala syarikat antarabangsa yang mengangkut produk bukan keperluan asas perlu menanggung sendiri kos pengangkutan mereka.
Beliau turut mencadangkan pengendali lori SKDS diwajibkan mengisytiharkan jenis dan pemilik barangan yang diangkut bagi mengelakkan subsidi rakyat dimanfaatkan golongan korporat.
“Logiknya mudah. Tutup kebocoran korporat dulu, baru sentuh poket rakyat. Jangan syarikat gergasi asing masih selesa, rakyat biasa yang tertekan,” katanya.

0 Comments