Kerajaan promosi pelancongan melalui hiburan melampau

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Pesta hiburan berkonsep ‘basah’ bukan sahaja bertentangan dengan norma tempatan, malah mengangkat budaya hedonisme melampau yang tidak selari dengan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, pesta hiburan terbuka yang melibatkan pergaulan bebas boleh mencetuskan rangsangan syahwat serta mengundang perlakuan melampaui batas adab dan kesusilaan.

Katanya, apabila disertai elemen percampuran bebas tanpa kawalan serta aksi keterlaluan, ia melangkaui garis nilai yang dipegang masyarakat.

“Lebih dikesalkan lagi kerana penganjuran seumpama itu dikaitkan dengan usaha promosi pelancongan, sedangkan pendekatan tersebut jelas tidak sensitif terhadap latar budaya dan keharmonian negara,” katanya pada kenyataan semalam.

Festival Muzik Air Rain Rave dilaporkan berlangsung bermula 30 April hingga 2 Mei di kawasan Bukit Bintang mencetus bantahan pelbagai pihak di negara ini.

Mohd Asri berkata, prinsip Rukun Negara yang menekankan aspek kesopanan dan kesusilaan seharusnya dijadikan panduan utama dalam setiap penganjuran program, khususnya melibatkan kerajaan.

Kata beliau kerajaan mempunyai tanggungjawab bagi memastikan sebarang bentuk hiburan tidak menyimpang daripada nilai moral sehingga mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Penganjuran sesuatu hiburan perlu mengambil kira sensitiviti agama, budaya dan tata susila rakyat Malaysia,” ujarnya.

Menurunya juga Kerajaan Kelantan mengambil langkah proaktif menggubal Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan (Kelantan) 2025 bagi mengekang penganjuran hiburan melampau.

Menurutnya, usaha tersebut mencerminkan komitmen kerajaan negeri bagi memastikan pembangunan sosial dan hiburan bergerak seiring dengan nilai agama serta akhlak masyarakat.

Post a Comment

0 Comments