Rakyat yakin Vijay bawa pembaharuan di Tamil Nadu

KOTA BHARU: Kemenangan pelakon C Joseph Vijay dan partinya, Tamilga Vettri Kazhagam (TVK) pada pilihan raya negeri Tamil Nadu baru-baru ini mencerminkan keyakinan rakyat untuk pembaharuan.

Selain itu, rakyat Tamil Nadu juga mahu keadilan, keharmonian sosial, pemberdayaan belia dan pemodenan.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, bekas pelakon itu sangat dikagumi di Malaysia, terutamanya golongan belia India di atas pencapaian seni, imej kemanusiaan dan kepimpinan awamnya.

Katanya, kebangkitan politiknya diikuti dengan minat dan semangat yang tinggi rakyat Malaysia keturunan India kerana hubungan sejarah, budaya dan bahasa yang lama terjalin dengan Tamil Nadu.

“Bagi pihak Perikatan Nasional, kami mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada C Joseph Vijay dan dilantik sebagai Ketua Menteri,” katanya pada kenyataan.

C Joseph Vijay dilapor mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu selepas parti TVK berjaya memperoleh sokongan majoriti.

Vijay berjaya membentuk kerajaan negeri dan menamatkan dominasi dua parti utama Dravidian selepas TVK memperoleh sokongan.

TVK memperolehi 108 kerusi, namun gagal mencapai majoriti mudah 118 kerusi bagi membentuk kerajaan. 

Vijay mendapat sokongan Viduthalai Chiruthaigal Katchi (VCK), Communist Party of India (CPI), Communist Party of India-Marxist (CPM) dan Indian Union Muslim League (IUML) dan berjaya mengumpul 120 kerusi bagi membentuk kerajaan.

Takiyuddin juga berkata, PN mendoakan kejayaan Vijay memimpin Tamil Nadu ke arah kemajuan, kestabilan dan kemakmuran lebih besar.


 

Post a Comment

0 Comments